![]() | |
| Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor |
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor telah mengarahkan supaya pemakluman dan hebahan mengenai agenda BERSIH 2.0 menjadi agenda utama Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan di seluruh Negeri Selangor dengan mengadakan Ceramah BERSIH 2.0 serta sebaran risalah berkenaan program tersebut di kawasan masing-masing bermula 1 Julai sehingga 7 Julai 2011 untuk mempastikan rakyat memahami keperluan sebenar BERSIH 2.0 ini perlu dijayakan. Rakyat tidak perlu berasa takut atau terancam untuk menyertai Program BERSIH 2.0 kerana ianya adalah Himpunan AMAN yang dinaungi oleh badan-badan NGO yang berusaha untuk memastikan sistem pilihanraya di dalam Negara Malaysia ini dijalankan secara bersih dan adil. Seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Hj Mohamad Sabu bahawa kita menentang sistem pilihanraya yang kotor yang dimonopoli oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan bukannya himpunan ini diadakan untuk mencetuskan huru-hara dan kekacauan.
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bersetuju dengan pandangan yang diutarakan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dan PAS Kawasan Miri bahawa Himpunan AMAN BERSIH 2.0 ini boleh untuk tidak diteruskan sekiranya pihak SPR dan Kerajaan Pusat memenuhi tuntutan 8 perkara yang diutarakan oleh pihak BERSIH 2.0 iaitu bersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media bebas dan adil, masa berkempen minima 21 hari, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. Oleh itu Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyeru seluruh rakyat warga Selangor untuk turut bersama-sama menjayakan Himpunan AMAN BERSIH 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai 2011 di Kuala Lumpur. Bersama-samalah kita memBERSIHkan sistem pilihanraya Negara kita daripada segala kekotoran dan salah laku yang ada kepada sistem yang lebih baik dan adil.
HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA DEWAN PEMUDA PAS
NEGERI SELANGOR
18 Jun 2011


No comments:
Post a Comment