Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Segala puji bagi Allah S.W.T, dengan keizinanNya, blogspot Dewan Pemuda PAS Kelana Jaya berjaya dibuat tanggal 1 Rejab 1423 Hijrah bersamaan 3 Jun 2011.

Dengan adanya blogspot ini, akan memudahkan masyarakat, khususnya anak-anak muda di kawasan Kelana Jaya untuk mengetahui program-program yang diadakan oleh Dewan Pemuda PAS Kelana Jaya, maklumat dan isu-isu semasa yang berlaku, dan juga berkongsi maklumat di ruangan yang disediakan.

Semoga dengan medium ini dapat merapatkan hubungan masyarakat khususnya anak-anak muda dengan kami, Dewan Pemuda PAS Kelana Jaya.
Sebarang maklumat yang ingin dikongsi, boleh hubungi kami melalui:-

  1. Emel: dppkelanajaya@gmail.com
  2. Shoutbox di blogspot ini.
  3. Facebook Page Dewan Pemuda PAS Kelana Jaya
'Memimpin Kebangkitan Anak Muda'

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor (SelangorKini Online)

Tuesday, 26 July 2011

PEMANTAUAN PERLU DIPERTINGKATKAN

Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor


Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) bersetuju dengan kenyataan Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menyebut pusat hiburan di dalam negeri Selangor akan beroperasi seperti biasa semasa bulan Ramadhan untuk masyarakat bukan Islam berhibur dan pengusaha pusat hiburan tersebut perlu menghormati umat Islam yang menunaikan ibadah puasa dalam bulan tersebut.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan semoga usaha-usaha pemantauan dan penguatkuasaaan yang ketat terhadap sebarang salah laku pengusaha-pengusaha pusat hiburan terbabit yang cuba untuk merosakkan kesucian bulan Ramadhan dengan membenarkan orang-orang Islam berada di pusat hiburan mereka perlu di ambil tindakan yang tegas. Pemuda PAS Selangor percaya pihak Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk mengambil sebarang tindakan tegas kepada pusat-pusat hiburan yang melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan. Selain itu, penerangan dan dan kefahaman mengenai Ramadhan adalah bulan yang penuh rahmah dan barakah perlu diperjelaskan kepada seluruh rakyat negeri terutamanya yang bukan Islam supaya mereka dapat memahami dan menghormati budaya dan agama Islam yang sebenar. Majlis berbuka puasa bersama masyarakat bukan Islam perlu dilaksanakan di semua kawasan di dalam negeri Selangor ini.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan juga pihak Kerajaaan Negeri Selangor akan memperbanyakkan pengisian program-program pembentukan kerohanian sepanjang bulan Ramadhan ini untuk melahirkan insan-insan muslim yang berkualiti yang mempunyai jati diri yang teguh dan istiqamah di dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim di atas muka bumi ini.


USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA PEMUDA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

26 Julai 2011


NAJIB SEMAKIN TERTEKAN

Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) menyelar dan menolak kenyataan Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Najib Razak bahawa tindakan yang di ambil keatas penganjur dan peserta BERSIH 2.0 tempohari adalah untuk melindungi kepentingan dan harta benda masyarakat umum. Ini merupakan satu kenyataan yang paling tidak bertanggungjawab dan biadap yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri kepada rakyat yang inginkan keadilan di dalam sistem pilihanraya di Malaysia. Rakyat yang turun menyertai himpunan aman BERSIH 2.0 adalah rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, sebahagian mereka adalah non-partisan, punyai pelbagai latarbelakang pendidikan dan kerjaya dan mereka semua ini bukanlah pengganas yang ingin membuat kekacauan dan kerosakan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan Najib kini semakin terdesak untuk menarik kembali sokongan rakyat kepada beliau dengan mengemukakan hujah yang dangkal. Rakyat telah maklum bagaimana pembohongan dan skrip Najib untuk menghalang himpunan BERSIH 2.0 diteruskan walaupun pihak penganjur BERSIH 2.0 mendapat sokongan DYMM Yang Dipertuan Agong supaya diadakan di dalam stadium secara aman dan teratur. Pihak polis yang makan gaji hasil daripada duit rakyat telah dipergunakan untuk menafikan permit untuk berhimpun secara aman malah di kerah untuk melakukan sekatan dan halangan kepada rakyat Malaysia untuk bergerak bebas di kota raya pada 9 Julai 2011 lalu. Sepanjang himpunan aman BERSIH 2.0 berlaku, melalui rakaman Youtube dan agensi-agensi berita luar Negara telah menunjukkan bahawa himpunan tersebut telah menyatupadu dan merapatkan hubungan rakyat Malaysia yang TULEN. Rakyat pelbagai bangsa, agama, ideologi politik dan sebagainya berganding bahu berarak secara aman menuntut sistem pilihanraya yang telus dan adil. Malahan anak bekas Perdana Menteri Malaysia juga hadir memberi sokongan terhadap himpunan tersebut. Namun himpunan yang aman tersebut telah dicemari dengan keganasan dan sikap tidak bertamadun pihak polis yang pastinya telah tunduk kepada pengarahan pihak penguasa yang zalim.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan Najib berniat jahat, tidak bertanggungjawab dan mengancam untuk menghasut apabila cuba mengaitkan himpunan aman BERSIH 2.0 yang menginginkan sistem pilihanraya yang bersih dan adil dengan tragedi 13 Mei 1969 yang membabitkan rusuhan antara kaum. Kenyataan ini seolah-olah mengesahkan kenyataan pihak polis sebelum yang mengaitkan BERSIH 2.0 dengan aktiviti komunis dan keganasan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor meminta supaya Najib berhenti daripada meneruskan agenda pembohongan kerajaan terhadap rakyat dan memikul tanggungjawab di atas segala kecederaan dan kematian yang menimpa peserta himpunan aman tersebut, kerugian pihak peniaga yang terpaksa menutup perniagaan mereka atas arahan pihak polis, para pemandu teksi yang terpaksa menggunakan jalan jarak jauh disebabkan halangan dan sekatan pihak polis dan pelbagai maslah yang timbul kerana kedegilan pihak kerajaan menghalang himpunan aman tersebut. Najib perlu belajar daripada negara-negara maju bagaimana untuk menguruskan ketidakpuasan hati rakyat secara berhemah bukannya mengambil pendekatan negara-negara kuku besi bagaimana untuk menghalang suara rakyat dan menindas rakyat secara zalim dan kejam.


USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN

KETUA PEMUDA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

26 Julai 2011


SISTEM BIOMETRIK UNTUK KELANGSUNGAN KEMENANGAN BN

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menolak kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang menyatakan bahawa pihak SPR akan memperkenalkan sistem biometrik untuk memantapkan lagi tahap keselamatan dalam proses pilihan raya di negara ini. Tan Sri Abdul Aziz menyebut di dalam satu sidang media di Kuching bahawa perlaksanaan sistem itu diharap dapat mengatasi isu pengundi hantu yang sering dibangkitkan pihak pembangkang setiap kali menjelang musim pilihan raya umum atau kecil. Keputusan ini di ambil apabila pihak kerajaan bersetuju untuk memberikan sejumlah peruntukan kepada SPR untuk menggunakan sistem biometrik ini. Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia berpendirian tegas menolak penggunaan sistem biometrik ini yang pastinya masih boleh dimanipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mempastikan kemenangan UMNO/BN dan akan membabitkan kos penyelenggaraan yang tinggi yang membabitkan duit rakyat berbanding penggunaan dakwat kekal yang lebih murah, mudah dan selamat.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia bersetuju dengan pandangan YB Dr. Dzulkifly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor yang menyebut bahawa
"sistem biometrik ini tidak akan dapat menyelesaikan masalah isu pertindanan pemilih di dalam daftar pemilih, pemilih yang di pindah keluar dan masuk tanpa pengetahuan mereka, isu pengundi yang melebihi usia 100 tahun, isu lebih dari seorang pengundi di alamat yang sama, isu pengundian pos, isu tentera dan polis yang telah bersara tetap mengundi sebagai pengundi pos dan lain-lain isu yang telah menyebabkan sistem pilihanraya di Malaysia ini nampak tempang."
Sepertimana pendedahan Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor baru-baru ini dalam pertemuan dengan pihak SPR di Putrajaya, mereka telah menunjukkan sebahagian pembuktian pertindanan nama-nama pemilih di dalam daftar pemilih induk mengikut corak pengenalan diri (tarikh lahir/no kad pengenalan lama) dan corak nama hasil daripada gerakerja mencari dan mengenalpasti pemilih-pemilih yang diragui yang telah dilaksanakan secara berterusan di seluruh kawasan.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia berharap semoga pihak SPR tidak meneruskan agenda mereka untuk menggunakan sistem biometrik ini yang belum pernah teruji keberkesanannya untuk memastikan sistem pilihanraya dapat dilaksanakan secara adil dan telus. SPR tidak perlu berasa malu untuk menggunakan kaedah dakwat kekal seperti yang digunakan di Indonesia atau India tetapi hasilnya cukup memberangsangkan, tiada penipuan, tiada rusuhan dan sebagainya berbanding sistem biometrik yang tidak terjamin lagi ketelusannya. BERSIH 2.0 telah menunjukkan bahawa rakyat Malaysia kini telah bangkit untuk menolak sebarang penyelewengan dan penipuan, mereka juga memerhatikan dengan penuh minat bagaimana pihak SPR ingin mengendalikan pilihanraya Umum ke 13 ini secara telus dan adil. Adakah SPR akan menjadi pihak yang mempunyai integriti dalam melaksanakan tanggungjawabnya secara beramanah ataupun berterusan menjadi salah satu daripada parti komponen Barisan Nasional yang akan mengusahakan pelbagai kaedah dan cara yang akan mempastikan kemenangan UMNO/BN di dalam pilihanraya yang akan datang.

MOHD SANY BIN HAMZAN

PENGARAH JABATAN PILIHANRAYA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

26 Julai 2011


Wednesday, 20 July 2011

MOMENTUM BERSIH PERLU DITERUSKAN

Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) bersetuju dengan keputusan mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat di Petaling Jaya baru-baru ini yang menegaskan keperluan untuk terus menggerakkan agenda dan momentum BERSIH sehingga kepada masyarakat luar bandar. Ini kerana banyak lagi maklumat dan tuntutan BERSIH tidak sampai kepada mereka sehingga masyarakat luar bandar tidak berapa ambil peduli tentang perkara tersebut.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan Pimpinan Pakatan Rakyat di semua peringkat perlu menggerakkan usaha bersama secara bersepadu untuk menangani permasalahan ini dan tidak lagi membiarkan masyarakat luar bandar ini berterusan dibuli dan dipergunakan UMNO dan Barisan Nasional. Kempen-kempen penerangan tentang kejayaan Kerajaan Pakatan Rakyat berbanding Kerajaan Barisan Nasional perlulah diperkasakan gerakannya, program-program kebajikan kepada rakyat diteruskan tanpa prejudis dan wakil-wakil Rakyat Pakatan Rakyat mestilah dilihat mesra rakyat sepanjang masa dan tidak dilihat sebagai orang yang ekslusif.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor sehingga kini telah mengarahkan seluruh jentera pemuda PAS di kawasan-kawasan untuk meneruskan agenda penerangan BERSIH dengan menganjurkan ceramah berterusan, sebaran risalah dan pelbagai aktiviti lain yang menjurus kepada memberikan kefahaman masyarakat berkenaan 8 tuntutan yang diperjuangkan oleh BERSIH. Semoga dengan komitmen dan kerjasama semua pimpinan Pakatan Rakyat untuk meneruskan agenda BERSIH ini secara bersepadu akan dapat meneruskan gelombang kebangkitan rakyat untuk menolak UMNO/BN di dalam pilihanraya umum ke 13 akan datang.


USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA PEMUDA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

20 Julai 2011

Saturday, 16 July 2011

Dewan Ulamak Kesal Kerana Hukum Demontrasi Ditafsir Luar Daripada Konteks Sebenar

Kuala Terengganu, 15 Julai 2011 - Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat , Dato' Tuan Guru Haji Harun Taib menyifatkan bahawa kenyataan muka hadapan utusan yang disiarkan pada hari ini berkenaan hukum demontrasi sebagai pandangan yang dikemukakan di luar konteksnya yang sebenar.

Pandangan pendakwah tersebut sesuai sekiranya dilaksanakan di dalam sebuah negara yang Islam yang melaksanakan undang-undang Islam dengan penuh keadilan. Adapun sekiranya keadaan sebaliknya maka menjadi kewajiban kepada rakyat untuk menjalankan tugasan amar ma'ruf nahi munkar di dalam kerangka syarak. Konsep ini adalah tersangat jelas di dalam Islam sebagai 'check and balance' dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

"Apa yang berlaku di Malaysia sekarang ialah rakyat Malaysia tidak ada pilihan untuk menegur kerajaan, di Parlimen suara kita dibakul sampahkan, bahkan kita telah bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong dan menyuarakan pandangan kita, tapi UMNO masih membisu seribu bahasa seolah-olah tidak ada apa yang berlaku", tegas beliau.

"Hanya ini sahajalah cara untuk menarik perhatian pihak kerajaan, itu pun secara aman, peserta BERSIH tak lakukan keganasan tetapi yang melakukan keganasan ialah pihak kerajaan", tambah beliau lagi.

"Saya menyeru kepada pendakwah tersebut membaca kisah 'Ashabul Ukhdud' yang dinukilkan di dalam sahih Muslim, di mana seorang pemuda telah mengumpulkan orang ramai untuk menyaksikan kezaliman pemerintah di negara tersebut dan akhirnya ramai daripada penduduk negara itu yang beriman kepada Allah Taala setelah melihat apa yang berlaku", ujar beliau yang juga merupakan Adun Manir (PAS).

Beliau merujuk kepada kisah 'Ashabul Ukhdud' (Sahih Imam Muslim):

Thursday, 14 July 2011

PEMUDA PAS SELANGOR HARGAI PENDEDAHAN DOKTOR

Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor


Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) merakamkan ucapan TAHNIAH di atas keberanian dan kesanggupan kumpulan 11 orang doktor daripada Hospital Tung Shin dan Hospital Bersalin Cina di Jalan Pudu untuk tampil menyanggah tuduhan Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Liow Tiong Lai dan pihak PDRM yang mengatakan hospital tersebut tidak ‘diserang’ oleh pihak polis semasa himpunan BERSIH 9 Julai yang lalu. Malahan kumpulan doktor tersebut yang terdiri dari Datuk Dr Musa Nordin, Dr Sheikh Johari Bux, Dr Ng Kwee Boon, Dr Ng Swee Choon, Dr Jeffrey Abu Hassan, Dr David Quek, Dr Mary Cardozo, Dr Ahmad Farouk Musa, Dr Mazeni Alwi, Datin Low Low Paik See dan Dr Steve Wong sanggup mengemukakan afidavit bersumpah jika perlu untuk pertahankan kebenaran. DPPNS cukup berbangga di atas komitmen yang telah ditunjukkan oleh para doktor tersebut semata-mata kerana ingin menegakkan kebenaran dan mempertahankan nilai-nilai "integriti moral, maruah, dan ketelusan". Sudah pasti pendedahan ini memberikan tamparan hebat kepada PEMBOHONGAN Menteri Kesihatan dan pihak PDRM sebelum ini yang menceritakan perkara sebaliknya.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga mengecam sikap tidak bertanggungjawab Menteri Kesihatan dan pihak PDRM sebelum ini yang telah membuat ‘pembohongan’dan penafian kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap isu serangan ke atas hospital terbabit sedangkan terdapat pembuktian daripada saksi-saksi yang ditangkap semasa himpunan tersebut, pelbagai rakaman video, pengamatan dan pemantauan daripada Majlis Peguam dan lain-lain pihak menceritakan kisah yang sebaliknya. Bagaimanakah rakaman kejadian serangan ke atas hospital tersebut telah tersebar luas di laman-laman web dan menjadi tontonan masyarakat sedunia sedangkan pada masa yang sama Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammudin Tun Hussein mengatakan pihak polis juga ada merakamkan kejadian pada hari tersebut tetapi tiada serangan yang dimaksudkan berlaku. Ini merupakan satu BALA apabila pemimpin semakin berleluasa melakukan PEMBOHONGAN dan PENIPUAN semata-mata kerana ingin mempertahankan tampuk kekuasaaan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan keberanian kumpulan 11 orang doktor ini untuk mendedahkan kebenaran sebenar kejadian yang berlaku semasa himpunan BERSIH tempohari tidak akan disusuli dengan tekanan dan ancaman oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap mereka. DPPNS mengharapkan semoga dengan pendedahan ini akan dapat menyedarkan rakyat Malaysia betapa kronik dan rosaknya akhlak pemimpin UMNO/BN yang sanggup mempergunakan institusi awam dan media massa untuk kepentingan mereka selain berterusan BERBOHONG dan MENIPU untuk mempastikan rakyat terus diperbodohkan dan dapat dipergunakan di dalam Pilihanraya Umum yang ke 13 nanti.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menuntut supaya Y.A.B Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Menteri Kesihatan dan Ketua Polis Negara meletakkan jawatan secara bermaruah di atas pertanggungjawaban insiden serangan ke atas Hospital Tung Shin dan Pusat Bersalin Cina semasa Himpunan BERSIH 2.0 oleh pihak PDRM pada 9 Julai lalu.

USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA PEMUDA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

14 Julai 2011

Wednesday, 13 July 2011

SPR BERMAIN POLITIK

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia merasa cukup kecewa dengan kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Muhd Yusof, yang tidak akan tunduk dengan desakan BERSIH 2.0 untuk melakukan pembaharuan di dalam sistem pilihanraya sedia ada kerana pada anggapannya BERSIH 2.0 tidak lagi bebas dan telah dipengaruhi oleh agenda politik pembangkang. Beliau mengulas desakan Timbalan Presiden PAS yang meminta supaya pihak SPR melaksanakan empat daripada lapan tuntutan BERSIH 2.0 sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), jika tidak perhimpunan 9 Julai bakal berulang.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menuntut supaya SPR jangan berdolak-dalih lagi untuk membersihkan sistem pilihanraya di dalam Negara Malaysia ini yang kini di lihat semakin ‘kotor’ dengan penyelewengan kuasa oleh parti Barisan Nasional di dalam kempen pilihanraya, pertindihan nama pengundi dalam rang daftar pengundi, pengundi-pengundi hantu, rasuah wang dan politik, pemalsuan kad pengenalan dan sebagainya. SPR sepatutnya membuat kajian yang mendalam dan melakukan penambahbaikan terhadap tuntutan yang di tuntut oleh pihak BERSIH 2.0 mengikut bidang kuasa mereka dan bukannya sibuk menjadi alat propaganda Barisan Nasional dengan memjaja cerita yang BERSIH 2.0 adalah agenda politik pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia mempertegaskan bahawa PAS sebagai sebuah parti politik yang berdaftar adalah pelanggan yang menggunakan khidmat SPR sebagai penyelia untuk mempastikan pilihanraya berjalan dengan telus dan adil. Tidak timbul BERSIH 2.0 diresapi pengaruh pembangkang kerana parti-parti politik yang menyertai pilihanraya semestinya mahukan pilihanraya bebas, adil, yang tidak berat sebelah supaya rakyat boleh menilai kemampuan parti-parti politik yang bertanding. Tetapi sebagai penyelia, SPR, telah menunjukkan sikap berpihak kepada sesebuah parti politik, mana mungkin pilihanraya tersebut boleh diadakan secara telus dan adil. Pihak SPR perlu mengambil contoh sistem pilihanraya di negara-negara luar yang lebih baik dan efisien daripada yang berlaku di dalam Malaysia. Sekiranya pihak SPR tidak mampu untuk memberikan komitmen yang tinggi untuk mempastikan pilihanraya Umum ke 13 yang akan datang bersih, telus dan adil, maka sewajarnya Pengerusi SPR meletakkan jawatan beliau dan memasuki kancah politik.

MOHD SANY BIN HAMZAN

PENGARAH JABATAN PILIHANRAYA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

13 Julai 2011


Monday, 11 July 2011

UCAPAN TAKZIAH PEMUDA PAS SELANGOR

Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) merakamkan ucapan TAKZIAH kepada seluruh ahli keluarga Al Marhum Baharudin Ahmad, yang telah meninggal dunia sewaktu menyertai perhimpunan BERSIH 2.0, jenazah Al Marhum telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Lembah Keramat di Taman Seri Keramat Tengah, Kuala Lumpur semalam. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan semoga keluarga Al Marhum bersabar di atas kehilangan dan ujian ini dan mendoakan semoga roh Al Marhum akan ditempatkan di kalangan orang-orang yang mendapat keredhaan Allah Taala. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga mengutuk dan mengecam tindakan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terutamanya pihak Polis Diraja Malaysia yang telah melakukan kezaliman dan penganiayaan terhadap peserta-peserta himpunan aman BERSIH 2.0 dengan menembak gas pemedih mata dan semburan air kimia secara berdepan tanpa belas ihsan. Laporan Malaysiakini 10 Julai menyebut, Al Marhum Baharudin, 58 tahun, bersama rakan dan keluarganya berkumpul di KLCC, terjatuh dan pengsan apabila disembur gas pemedih mata oleh pasukan keselamatan. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga menuntut siasatan yang telus bagi menyiasat laporan yang mengatakan bahawa empat tulang dada dan tiga batang gigi Al Marhum patah selepas menjalani post-mortem. Sesungguhnya kejadian seumpama kini amatlah memilukan dan menjadi satu lagi episod malang dan hitam bagi sejarah demokrasi Negara kita. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat menyanjung tinggi jasa, komitmen dan pengorbanan Al Marhum di dalam memperjuangkan agenda menuntut ketelusan dan keadilan di dalam sistem pilihanraya di Malaysia bersama-sama Sekretariat BERSIH 2.0. Sesungguhnya Al Marhum Baharudin Ahmad adalah WIRA NEGARA (BERSIH 2.0).


Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga mengucapkan ucapan TAKZIAH kepada ahli keluarga Al Marhum Mohd Radzi Yusuf yang telah meninggal dunia akibat masalah paru-paru pagi semalam di Hospital Selayang. Semoga Allah merahmati dan mencucuri rahmat ke atas roh Al Marhum dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang hampir kepadaNYA. Al Marhum atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Radzi merupakan mantan Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Selangor sesi 2009-2011, juga merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gombak dan penyelia DUN Gombak Setia. Cikgu Radzi merupakan seorang yang cukup mesra dengan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan usia. Beliau adalah seorang yang mempunyai komitmen yang tinggi, akhlak yang baik, berdisiplin tinggi, peramah, periang, tegas dan lucu pada masa-masa yang tertentu. Sesungguhnya Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat berasa sedih dan terkesan di atas kehilangan ini kerana Al Marhum Cikgu Radzi merupakan orang yang banyak memberikan tunjuk ajar terutamanya ilmu-ilmu berkaitan pilihanraya kepada pemuda di semua peringkat. Jasa baik dan tunjuk ajar yang telah diberikan akan sentiasa dikenang dan disanjung tinggi oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor


HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA DEWAN PEMUDA PAS
NEGERI SELANGOR

11 Julai 2011


Friday, 8 July 2011

PEMUDA PAS SELANGOR SELAR NAJIB, HISHAMMUDDIN

Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor


Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor melahirkan rasa kekecewaan yang teramat sangat terhadap YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai seorang Melayu Islam tetapi dalam masa yang sama tidak menunjukkan nilai-nilai agama Islam yang baik dengan tidak menepati janji untuk memberikan kebenaran penggunaan stadium bagi himpunan BERSIH. Sedangkan sebelum itu, Perdana Menteri sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihak kerajaan akan menawarkan mana-mana stadium untuk digunakan sebagai tempat himpunan tersebut dengan syarat tertentu jika pihak Sekretariat BERSIH membatalkan hasrat untuk berhimpun di jalanan. Kini apabila pihak Sekretariat BERSIH bersetuju dengan perhimpunan di dalam stadium maka pihak kerajaan pula yang berdolak-dalih dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah. Sepatutnya YAB Perdana Menteri menunjukkan bahawa beliau seorang yang berjiwa besar dengan menunaikan janji yang telah diumumkan dan mengarahkan pengurusan Stadium Merdeka untuk menerima permohonan Sekretariat BERSIH untuk menggunakan stadium tersebut sebagai tempat perhimpunan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga merasakan tindakan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein terus menerus melabelkan Gerakan BERSIH sebagai HARAM adalah satu tindakan yang kurang wajar dan tidak cerdik kerana pihak Sekretariat BERSIH sendiri telah di terima untuk mengadap ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong untuk menyampaikan dan memaklumkan agenda sebenar Himpunan BERSIH. Adakah Hishamuddin berhajat untuk memperkecilkan kebijaksanaan Tuanku Al Sultan di dalam menilai usul pangkal isu-isu yang berlaku di dalam Negara ataupun beliau sememangnya berhajat untuk melakukan penderhakaan dengan menganggap Tuanku Al Sultan mengiktiraf sebuah gerakan yang HARAM dan boleh menjejaskan keamanan masyarakat. Berdasarkan titah khas Tuanku Al Sultan baru-baru ini, sepatutnya Hishamuddin mengambil tindakan segera untuk mengendurkan tekanan-tekanan yang telah dikenakan ke atas rakyat dengan melepaskan semua tahanan-tahanan yang telah ditangkap secara paksa, membenarkan perarakan himpunan aman dengan pemantauan pihak polis dan mengeluarkan permit himpunan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat berharap semoga kedua-dua pimpinan Negara ini, YAB Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri dapat menunjukkan akhlak muslim sejati dengan menunaikan janji mereka (lebih-lebih lagi apabila di hadapan seorang yang bukan Islam) untuk memberikan kebenaran supaya himpunan BERSIH dapat dijayakan di Stadium Merdeka pada 9 Julai ini. Sepatutnya Kerajaan UMNO/BN tidak lagi terus-terusan membohongi dan berdolak-dalih di dalam isu ini kerana ianya akan hanya menambah kebencian dan rasa amarah rakyat kepada mereka. Rakyat kini sudah sedar akan penipuan dan penyelewengan pemimpin UMNO/BN untuk mempastikan kuasa mereka terus dipertahankan. Pilihanraya umum yang 13 akan datang rakyat pasti akan menghukum dan menumbangkan mereka daripada tampuk kekuasaan Negara.

InsyaAllah.

USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA PEMUDA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

07 Julai 2011

Thursday, 7 July 2011

RAMPASAN SATU LAKONAN?

Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyelar tindakan pihak polis yang cuba mengaitkan rampasan sejumlah besar senjata termasuklah 44 molotov cocktails, 23 parang dan 48 baju T berlogo BERSIH dengan perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Sabtu ini. Semua senjata-senjata tersebut dirampas semasa operasi polis di Gombak, Selangor dan tiga lokasi di Kuala Lumpur. Telahan dan tuduhan tersebut hanyalah berdasarkan kepada penemuan baju T berlogo BERSIH bersama-sama senjata yang dirampas sepertimana yang dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh dan Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Hamzah.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor meyangkal keras segala tuduhan tersebut dan meminta supaya pihak polis tidak terburu-buru di dalam menentukan kesalahan ke atas pihak tertentu tanpa ada pembuktian yang benar-benar kukuh dan munasabah. Hanya dengan penemuan baju T berlogo BERSIH, pihak polis sudah boleh menuduh pembabitan gerakan BERSIH sedangkan ianya boleh sahaja dicetak dan dikeluarkan oleh pihak-pihak lain yang tidak bertanggungjawab maka kemampuan pihak polis untuk melakukan penyiasatan yang telus dan teliti boleh dipertikaikan. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berasa cukup gusar sekiranya rampasan ini merupakan satu agenda ataupun lakonan baru pihak polis untuk terus menjustifikasikan tindakan mereka menangkap dan menahan pemimpin-pemimpin gerakan BERSIH 2.0.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga berpendapat tuduhan pihak polis bahawa agenda BERSIH diresapi pengaruh komunis adalah berniat jahat dan bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat supaya tidak hadir bersama-sama menjayakan Himpunan BERSIH 2.0. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berharap supaya pihak polis dapat melakukan penyiasatan terhadap isu ini dengan secara telus dan professional tanpa bias serta campurtangan pihak-pihak yang lain.

USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA PEMUDA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

06 Julai 2011

Monday, 4 July 2011

PEMUDA PAS SELANGOR UCAP TERIMA KASIH KEPADA YANG DI PERTUAN AGONG

Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merafak sembah merakamkan ucapan terima kasih di atas Titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang meminta supaya pihak kerajaan menangani setiap permasalahan yang membabitkan kepentingan rakyat secara berhemah dengan berunding dan tidak mengikut perasaan sepertimana masyarakat yang bertamadun.. Titah ini menjurus kepada cadangan himpunan aman BERSIH 2.0 (Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil) yang akan diadakan pada 9 Julai 2011 di Kuala Lumpur.

Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mendesak supaya pihak kerajaan, pihak polis dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mematuhi saranan Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong agar membuka semula pintu rundingan bersama Sekretariat BERSIH 2.0 bagi mempastikan perjalanan program tersebut berjalan lancar dan teratur. Janganlah pihak kerajaan, polis dan SPR dianggap sebagai orang yang tidak bertamadun hanya kerana ingin mempertahankan keangkuhan dan keserakahan nafsu mereka semata-mata.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor sekali lagi mempertegaskan bahawa himpunan BERSIH 2.0 adalah himpunan aman rakyat menuntut pembaharuan di dalam sistem pilihanraya di Malaysia dan himpunan ini akan berlangsung dan berakhir dalam keadaan yang tenang dan baik. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat menyanjungi keamanan dan keharmonian dan menolak sebarang usaha provokasi untuk melakukan huru-hara ataupun kekacauan.

HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA DEWAN PEMUDA PAS
NEGERI SELANGOR

04 Julai 2011


KEMENTERIAN PENERANGAN BIADAP

Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengecam dan mengutuk tindakan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia kerana secara tidak bertanggungjawab telah menyiarkan secara berleluasa iklan-iklan fitnah dan berbaur hasutan untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap Himpunan Aman BERSIH 2.0 di dalam media elektronik terutamanya RTM1 dan RTM 2. Di dalam iklan-iklan tersebut, himpunan BERSIH 2.0 telah dimomokkan sebagai himpunan haram yang akan menyebabkan kerosakan harta benda, pertumpahan darah, huru hara, kacau bilau dan boleh menyebabkan para peniaga mengalami kerugian. Sepatutnya pihak Kementerian mengeluarkan iklan yang memperjelaskan hak-hak rakyat di dalam Negara yang berdaulat mengikut perlembagaan Negara bukannya memperbodohkan rakyat dengan menyiarkan iklan-iklan “sampah” untuk mempertahankan kuasa pemimpin UMNO/BN.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bertegas bahawa semua gambaran yang ditunjukkan tersebut adalah tidak benar sama sekali. Himpunan BERSIH 2.0 adalah himpunan rakyat jelata yang cintakan keamanan dan keharmonian yang menuntut supaya sistem pilihanraya di Malaysia ini diBERSIHkan daripada sebarang kekotoran penipuan dan penyalahgunaan kuasa pihak-pihak yang “gila” untuk mempertahankan kuasa mereka. Sekretariat BERSIH 2.0 telah meminta supaya setiap rakyat yang akan hadir ke himpunan tersebut tidak melakukan sebarang provokasi, ancaman , ugutan, vandalisme ataupun melakukan kekasaran terhadap mana-mana pihak. Sekretariat BERSIH 2.0 juga terbuka untuk berunding dengan pihak-pihak tertentu seperti polis untuk memastikan program tersebut berjalan lancar dan teratur bahkan meminta supaya pihak polis sendiri yang menentukan jalan yang sesuai untuk perarakan himpunan tersebut.

Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mendesak supaya Kementerian Penerangan Malaysia menarik balik iklan-iklan fitnah tersebut dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas kebiadapan mereka menyiarkan iklan-iklan tersebut. Sesungguhnya wang rakyat Malaysia sebayar pembayar cukai telah disalahgunakan oleh pemimpin UMNO/BN untuk kepentingan diri mereka dan membelakangkan kepentingan rakyat. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga mendesak Menteri Penerangan, YB Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim supaya meletakkan jawatan sekiranya beliau orang yang bermaruah dan berintegriti.

HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA DEWAN PEMUDA PAS
NEGERI SELANGOR

03 Julai 2011


Friday, 1 July 2011

POLIS JANGAN “DOUBLE STANDARD”

Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor


Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berasa kesal dan kecewa di atas tindakan segerombolan pemuda UMNO yang diketuai oleh exco pergerakan pemudanya iaitu Lokman Nor Adam kerana cuba untuk mencetuskan provokasi dan huru-hara apabila berhimpun dan berkumpul di hadapan pejabat parti PKR di Tropicana pada lewat semalam. Perhimpunan tidak sah tersebut telah disulami dengan pelbagai ugutan, ancaman dan kata-kata yang berbaur hasutan. Apa yang menyedihkan pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor ialah himpunan tersebut berlaku berhampiran dengan Balai Polis Tropicana dan anggota polis di situ hanya menjadi penonton dengan tiada sebarang tindakan dan tangkapan di buat.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor akan MEMANTAU dan mengharapkan PENJELASAN daripada pihak polis tentang tindakan mereka terhadap perkara ini kerana terdapat 2 versi yang berbeza berkenaan tindakan polis untuk menangani perhimpunan yang membabitkan orang ramai. Sekiranya pihak UMNO/BN ataupun pihak yang pro kepada mereka, maka pihak polis akan memberikan kerjasama dan kawalan keselamatan yang baik untuk mempastikan perhimpunan berjalan lancar tetapi berbeza pula kaedahnya apabila pihak NGO dan parti pembangkang yang pro BERSIH cuba untuk mengadakan himpunan aman tanpa ada sebarang unsur-unsur provokasi, kecaman, ugutan dan kata-kata berbaur hasutan tidak pula mendapat kerjasama pihak polis malahan ada yang ditangkap di atas sebab-sebab keselamatan. Pihak polis sepatutnya tidak bersikap “double standard” di dalam menangani persoalan ini. Ini akan menjatuhkan maruah dan integriti pihak polis sebagai pasukan yang dihormati pada pandangan masyarakat sekiranya terus dipergunakan sebagai alat untuk meneruskan kesinambungan penguasaan kuasa pihak tertentu.

Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan pihak polis agar berlaku adil, telus dan berwibawa di dalam menangani isu yang membabitkan hak-hak rakyat Malaysia sepertimana yang termaktub di dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA DEWAN PEMUDA PAS
NEGERI SELANGOR

29 Jun 2011