Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Segala puji bagi Allah S.W.T, dengan keizinanNya, blogspot Dewan Pemuda PAS Kelana Jaya berjaya dibuat tanggal 1 Rejab 1423 Hijrah bersamaan 3 Jun 2011.

Dengan adanya blogspot ini, akan memudahkan masyarakat, khususnya anak-anak muda di kawasan Kelana Jaya untuk mengetahui program-program yang diadakan oleh Dewan Pemuda PAS Kelana Jaya, maklumat dan isu-isu semasa yang berlaku, dan juga berkongsi maklumat di ruangan yang disediakan.

Semoga dengan medium ini dapat merapatkan hubungan masyarakat khususnya anak-anak muda dengan kami, Dewan Pemuda PAS Kelana Jaya.
Sebarang maklumat yang ingin dikongsi, boleh hubungi kami melalui:-

  1. Emel: dppkelanajaya@gmail.com
  2. Shoutbox di blogspot ini.
  3. Facebook Page Dewan Pemuda PAS Kelana Jaya
'Memimpin Kebangkitan Anak Muda'

Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor (SelangorKini Online)

Tuesday, 13 December 2011

KENYATAAN AKHBAR DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR : UMNO MASUK UNIVERSITI


DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR membidas dan menyelar sikap ‘double standard’ Kementerian Pengajian Tinggi dan pentadbiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang telah membenarkan penceramah Umno, Ustaz Fathul Bari yang merupakan Ketua Ulama Muda Umno untuk memberikan ceramah beliau dengan tajuk “Mengapakah Hak Istimewa Bumiputra perlu Dikekalkan” sempena Karnival BE-I UiTM pada 14 Disember 2011. (gambar pd attachment)

Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor cukup berasa kecewa apabila penggunaan kampus-kampus universiti menjadi HALAL apabila sebarang program dan penceramahnya adalah daripada pihak Umno sedangkan kepada pihak pembangkang ianya menjadi HARAM dan adakalanya dibatalkan pada saat-saat akhir.

Pihak Kementerian Pengajian Tinggi sentiasa menegaskan bahawa para mahasiswa dan mahasiswi tidak dibenarkan untuk menunjangi mana-mana fahaman politik kepartian di dalam kampus supaya tidak mengganggu prestasi pembelajaran mereka tetapi semuanya adalah omongan kosong belaka kerana penceramah Umno dan ‘macai-macai’ Umno sentiasa diberi peluang untuk membuat program bersama para-para siswa dan siswi serta merekrut mereka untuk menjadi ahli Umno.

Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor meminta pihak pentadbiran UiTM supaya membatalkan program ceramah tesebut kerana sudah pasti akan menjadi medan untuk Umno meneruskan agenda politik sempit mereka untuk meracuni pemikiran generasi muda pelapis negara dengan penuh kebencian terhadap Pakatan Rakyat. Sepatutnya pihak pentadbiran UiTM perlu berlaku adil kepada semua pihak termasuk pihak pembangkang untuk membincangkan topik-topik yang relevan dengan keadaan iklim politik Malaysia supaya dapat membuka minda para mahasiswa dan mahasiswi kampus untuk melakukan penilaian mereka sendiri. Janganlah disekat keilmuan dan keintelektualan mereka.

USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN

KETUA PEMUDA

DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

Friday, 9 December 2011

KENYATAAN AKHBAR DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR : DAULAT TUANKU


KENYATAAN AKHBAR DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

DAULAT TUANKU

DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR MERAKAMKAN UCAPAN TAHNIAH KEPADA KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH AL HAJ IBNI AL MARHUM SULTAN SALAHUDDIN ABDUL AZIZ SHAH AL HAJ DI ATAS HARI KEPUTERAAN DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SELANGOR KE 66 PADA 11 DISEMBER 2011 BERSAMAAN 15 MUHARAM 1433 HIJRIAH.

DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR MENDOAKAN SEMOGA ALLAH TAALA TERUS MELIMPAHKAN RAHMAT KEBERKATAN KEPADA DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SELANGOR DENGAN KESIHATAN YANG BAIK DAN KEBIJAKSANAAN YANG BERTERUSAN UNTUK MENAUNGI RAKYAT DAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR SERTA SELURUH JAJAHAN TAKLUKNYA.

DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU, DAULAT TUANKU.

USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN

KETUA PEMUDA

DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

Apakah PAS Mampu Tegakkan Islam dalam Pakatan Rakyat ?


Maafkan saya teman kerana agak lembab menjawab beberapa soalan yang dikemukakan semasa forum Politik dan Mahasiswa di UIAM tempohari sedang saya telah berjanji untuk menjawabnya. Maklumlah, apabila sudah tidak berada dalam majlis, ada sahaja perkara yang melengahkan saya untuk menjawabnya. Kini ada satu lagi soalan yang masih belum terjawab. Soalan kelima !

Soalan tersebut ialah : Apakah PAS Mampu Tegakkan Islam dalam Pakatan Rakyat ?

1. Saudara , perjuangan PAS bukan lagi berusia setahun jagung. Malah PAS telah berpengalaman luas dalam Kerajaan Campuran di zaman Perikatan. Berpengalaman di zaman Angkatan Perpaduan Ummah juga di zaman Barisan Alternatif dan kini Pakatan Rakyat. Sepanjang tempoh itu, PAS tidak pernah lekang biarpun seketika cuma dari dasar perjuangan yang telah mendarah daging iaitu Islam.

2. Tinggal Islam maka hilanglah identiti PAS dan tersasarlah dari matlamat penubuhannya. PAS ditubuh untuk memperjuangkan Islam. Hakikat ini mesti diinsafi oleh semua. Malah PAS dibangunkan dengan segala sendi yang kukuh dan melalui proses pengkaderan yang berterusan. Aqidah Islam menjadi tunjang perjuangan, Fikrah Islam menjadi dahan perjuangan sementara Syakhsiyah Islam menjadi bunga perjuangan dan Kedaulatan Islam kelak menjadi buah perjuangannya.

3. PAS istiqamah berjuang menegakkan Islam biarpun di mana ia berada. Menyertai Pakatan Rakyat adalah pilihan dan ijtihad PAS yang telah dibincang dan dibahas lumat oleh para pimpinannya yang terdiri dari para alim ulama' termasuklah ianya diluluskan oleh Majlis Syura Ulama' PAS. Segala congakan atau perkiraan politik yang melibatkan untung rugi masa depan perjuangan telah dihitung nilai.

4. Malah Tahaaluf Siasi atau kerjasama politik yang diguna pakai lalu membawa PAS bersama membentuk Pakatan Rakyat adalah sebuah kerjasama politik yang sarat dengan terma dan syarat tersendiri malah menjamin kedudukan serta kesucian perjuangan Islam yang didokong oleh PAS.

5. Biarpun berbeza ideologi perjuangan, ianya tidak menghalang ketiga - tiga parti komponen Pakatan Rakyat mengadakan kerjasama politik berhadapan UMNO dan BN. Ia bukan kerjasama aqidah, tetapi kerjasama politik. Malah ia bukan perkara baru bagi Gerakan Islam mengadakan kerjasama politik dengan non muslim lantaran Bagunda Rasul saw juga pernah terlebih dahulu pernah menganjurkannya.

6. PAS bukan sahaja konsisten malah sangat komited untuk melaksanakan Islam terutama apabila rakyat telah bersedia memberikan mandat kepimpinan kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Insyaallah, Islam tetap terpelihara dan akan terus diperjuangkan atau ditegakkan oleh PAS bersama Pakatan Rakyat.

7. Ada orang bertanya saya, kenapa tidak bersama UMNO ? saya hanya menjawab : Ini pilihan PAS. Pilihan pemimpin dan ahli - ahli PAS malah penyokong PAS. Hati PAS berkenan kepada Pakatan Rakyat sementara UMNO dan BN tidak. Sungguhpun UMNO dan BN menggunakan pelbagai madah, sehingga kini mereka belum mendapat tempat di hati PAS. Kenapa PAS tidak berkenan ? nantilah saya bercerita kemudian dalam artikel yang lebih khusus. Cuma ringkasnya, Bukanlah UMNO tidak cantik, tapi ada yang jauh lebih cantik dari UMNO.

8. PAS tidak larut dan hilang identiti sebaliknya terus membawa suara Islam dengan segala warna hikmah yang ada. Kita akui, peringkat awal dulu kita mengalami beberapa kesulitan untuk mengeratkan jalinan kerjasama antara parti komponen gara - gara terlalu banyak fitnah dan adu domba.

9. Namun kesabaran dan kematangan yang bertolak dari pengalaman yang luas akhirnya perjuangan PAS untuk menegakkan syariat Islam dan akhlaknya semakin diterima. Paling tidak, bersetuju untuk tidak bersetuju. Ianya satu perkembangan positif malah jauh lebih positif berbanding sebelumnya.

10. Saya optimis Islam akan ditegakkan malah boleh dan mampu ditegakkan Insyaallah, justeru Islam adalah agama Allah swt Tuhan yang Maha Sempurna dari segala sifat kekurangan, bukan agama ciptaan manusia yang serba lemah. Selama PAS bersama Islam, PAS akan kuat dan mampu. Selagi Islam diperjuangkan oleh PAS maka PAS senantiasa relevan.

11. Seperkara lagi, ingin saya tegaskan di sini bahawa Islam tidak sekadar hudud sebaliknya hudud adalah sebahagian dari Islam yang wajib dilaksanakan. Masih terdapat banyak perkara yang perlu dilaksanakan. Antara yang menjadi fokus penting juga selain Perlaksanaan Qanun Jenayah Syariah 2, ialah pembentukan sebuah pemerintahan atau pentadbiran yang adil, telus dan berintegriti tinggi. Bebas rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana negara. Ianya menepati Islam yang diperjuangkan.

12. Memperjuangkan perkara - perkara ini sahaja pun sudah tidak menang tangan dalam Pakatan Rakyat yang semakin memaut kerjasama erat antara parti komponen berbanding hanya satu dua perkara yang menjadi asas perbedaan. Semua parti bekerjasama erat untuk membasmi ISA, menentang rasuah, menubuhkan Good Governence, mempertahankan bahasa kebangsaan, menolak AUKU, perjuangkan hak rakyat marhain, perjuangkan hak mahasiswa dan 1001 perkara lagi yang selari dengan kehendak Islam.

13. Bertolak dari nokhtah yang telah saya sebutkan ini juga sudah cukup bahawa PAS berpotensi besar untuk menegakkan Islam bersama Pakatan Rakyat. Membasmi ISA adalah tuntutan Islam yang mesti ditegakkan, menentang rasuah adalah tuntutan Islam yang mesti ditegakkan, membina negara yang telus, adil dan berintegriti adalah tuntutan Islam yang mesti ditegakkan. Agihan kekayaan negara dengan adil dan bijaksana, bebas dari amalan monopoli, juga merupakan tuntutan Islam yang mesti ditegakkan. Kini dakwah PAS berjalan rancak dan semakin pro aktif insyaallah.

Nasrudin bin Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS

Thursday, 3 November 2011

KENYATAAN AKHBAR DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR                              JAIS PERLU RAIKAN ARTIS YANG TELAH ‘BERHIJRAH'


KENYATAAN AKHBAR DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR                             

JAIS PERLU RAIKAN ARTIS YANG TELAH ‘BERHIJRAH'

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengalu-alukan dan menyambut baik ‘penghijrahan’ beberapa orang artis yang kini berkecimpung di dalam bidang dakwah seperti Ustaz Akhil Hayy, Wardina, Sham Kamikaze, Radhi Melissa, HJ Azmil ‘Ali Setan’ Mustapha, Iwan Dangdut dan ramai lagi selain Bob Lokman. Kehadiran artis-artis ini telah mencetuskan revolusi dakwah baru yang telah menarik minat anak-anak muda remaja untuk kembali memahami dan mengamalkan ajaran agama Islam secara menyeluruh. Sehingga kini sambutan masyarakat terhadap program-program yang membabitkan para artis-artis yang telah ‘berhijrah’ ini mendapat sambutan yang cukup hebat. Selain peminat-peminat ‘tegar’ artis-artis terbabit, rakyat Malaysia secara keseluruhannya telah dapat menerima penglibatan artis-artis ini di dalam bidang dakwah dan berkongsi pengalaman mereka menerima ‘hidayah’ petunjuk daripada Allah SWT. Janganlah disebabkan perkara yang terlalu remeh menyebabkan pihak JAIS hilang pertimbangan sehingga mengambil tindakan yang tidak wajar di dalam menghentikan revolusi dakwah baru ini. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mencadangkan pihak JAIS sepatutnya mengambil pendekatan yang lebih mesra terhadap para artis yang telah ‘berhijrah’ ini dan menjadikan mereka sebagai ‘ikon’ dakwah JAIS kepada masyarakat. JAIS perlu menyediakan kursus-kursus dan garis panduan dakwah kepada para artis selain mengatur seliakan program-program dakwah yang perlu diisi oleh para artis tersebut untuk menarik minat masyarakat kembali kepada pengamalan Agama Islam yang sebenar. Akhirnya, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor melahirkan rasa kebimbangan dengan tindakan ‘menghukum’ yang akan di ambil oleh pihak JAIS ke atas Bob Lokman dan rakan-rakan artis seangkatannya akan ‘menghanyutkan’ semula anak muda yang kini dilihat semakin jinak dengan agama selain akan meninggalkan persepsi negatif masyarakat yang melihat JAIS sebagai agensi yang tidak mesra dakwah dan anti artis hijrah.   

USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN

KETUA PEMUDADEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

 02 November 2011 

Monday, 31 October 2011

KENYATAAN AKHBAR JABATAN PILIHANRAYA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA TPM ‘ SYOK SENDIRI ’


KENYATAAN AKHBAR JABATAN PILIHANRAYA

DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA 

TPM ‘SYOK SENDIRI’

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia membidas kenyataan ‘syok sendiri’ Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menyebut bahawa Rakyat tidak mempunyai pilihan kerajaan yang lebih baik selain Barisan Nasional sempena perasmian Majlis Penerangan Perdana Peringkat Negeri di Sabah baru-baru ini.   Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan Barisan Nasional sekarang sudah semakin terdesak untuk meraih simpati rakyat kerana telah ‘dimalukan’ oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang telah melondehkan segala kelemahan pentadbiran kerajaan mengurus tadbir kewangan negara sehingga menyebabkan berlaku ketirisan dan kebocoran yang cukup serius. Selain itu juga, penyelewengan berterusan di dalam pengagihan projek yang berkisar di kalangan pimpinan Barisan Nasional turut mendapat teguran berulang kali dalam setiap Laporan Ketua Audit Nagara.   Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat lelucon terbaru Muhyiddin adalah agenda penerusan penafian kelemahan-kelemahan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional seperti yang telah didedahkan oleh Pemuda PAS sebelum ini.Kejayaan Kerajaan Kelantan memerintah hampir 22 tahun tanpa rasuah dan penyelewengan kuasa, kejayaan Kerajaan Kedah mengurus negeri secara berhemah telah mendapat pujian oleh Ketua Audit Negara, kejayaan Kerajaan Selangor menguruskan kewangan negeri sehingga telah menambah aset dan simpanan negeri dan kejayaan Kerajaan Pulau Pinang mengurus tadbir negeri secara telus dan cekap adalah pembuktian yang terbaik yang menunjukkan kemampuan pemerintahan Pakatan Rakyat untuk memerintah negara Malaysia yang ter cinta ini.Oleh itu, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan sudah tiba masanya Rakyat Malaysia memberikan ruang dan peluang kepada Pakatan Rakyat untuk menggantikan Barisan Nasional daripada tampuk pemerintahan Negara pada pilihanraya umum yang ke 13 nanti. Sudah 54 tahun Barisan Nasional diberi peluang memerintah Malaysia tetapi rakyat semakin dihimpit kesusahan, kesengsaraan dan ketakutan yang berterusan. InsyaAllah, Pakatan Rakyat akan mempastikan satu pemerintahan yang cukup adil, telus dan berwibawa yang akan membawa kemakmuran, keamanan dan keadilan kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan perbezaan fahaman politik.

MOHD SANY BIN HAMZAN

PENGARAH JABATAN PILIHANRAYA DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

31 OKTOBER 2011.

Tuesday, 9 August 2011

SERAHAN MEMORANDUM KEPADA KDN

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menasihatkan Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, supaya meminta pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia dan pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) untuk mempercepatkan siasatan terhadap bantahan dan laporan polis yang telah di buat oleh parti PAS di beberapa buah negeri berkenaan dengan isu pemastautin tetap menjadi warganegara secara mudah bukannya asyik meminta PAS mengemukakan pembuktian terhadap dakwaan tersebut. Samada Menteri ini seorang yang tidak mengikuti perkembangan semasa ataupun beliau sememangnya ingin mengalih perhatian masyarakat daripada kelemahan dan penyelewengan urus tadbir pihak kerajaaan. Yang pastinya Bapak Menteri ini ‘baru bangkit dari lena yang panjang’.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat kegagalan pihak JPN memberikan jawaban yang munasabah terhadap persoalan penukaran IC Merah kepada IC Biru dalam masa kurang daripada 24 jam sepertimana didedahkan di dalam laman sesawang Malaysiakini dan laporan Polis oleh Jabatan Pilihanraya PAS Selangor menyebabkan mereka semakin gelabah dan panik untuk mencari alasan bagi menjustifikasikan gerakerja jahat mereka. Setelah isu “MISMAH-gate” menjadi isu yang membara dan memanaskan punggung SPR, JPN dan KDN , timbul pula isu seoarang pemilih bernama FARHANA BINTI ABDUL RASHID, 840505715012 yang boleh mengundi di Dun Wakaf Mempelam, Parlimen Kuala Terengganu tetapi tidak mempunyai rekod pendaftaran di dalam JPN. Manakala pula SPR secara gelojohnya telah mengesahkan KG. BARU sebagai pemilih berdaftar dengan no kad pengenalan 830527115422, berjantina perempuan dan dilahirkan pada 27 Mei 1983 layak mengundi di Dun Hulu Besut dalam parlimen Besut. UMNO/BN kini semakin gusar dan tertekan kerana gerakerja ‘kotor’ mereka menggunakan institusi kerajaan semakin terbongkar dan terdedah. Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia komited untuk terus membongkar dan mendedahkan segala salah laku, penipuan dan penyelewengan terhadap sistem pilihanraya dalam Negara ini bersama-sama Sekretariat Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Malaysia di bawah kendalian Sdr. Suhaizan Kaiat.

Oleh itu, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia berhasrat untuk menyerahkan MEMORANDUM meminta pertanggungjawaban kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap isu pemastautin tetap menjadi warganegara, isu kecuaian pihak JPN dan KDN serta pelbagai isu lagi pada Hari Khamis, 11 Ogos 2011, jam 2.30 petang di Putrajaya. Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia sangat berharap semoga Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Dalan Negeri, akan dapat melapangkan masa untuk menyambut, menerima memorandum dan berdialog bersama dengan rombongan Dewan Pemuda PAS Malaysia. Pihak media dan jurufoto dialu-alukan kehadiran di dalam majlis tersebut.

MOHD SANY BIN HAMZAN
PENGARAH JABATAN PILIHANRAYA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

09 Ogos 2011

Monday, 8 August 2011

GELOMBANG RAKYAT BERSIH 3.0

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat isu tindakan serbuan JAIS ke atas sebuah gereja di Damansara Utama, Petaling Jaya baru-baru ini sengaja dipolemikkan secara besar-besaran oleh pihak tertentu supaya dapat meredakan isu pemberian status warganegara kepada penduduk pemastautin tetap dalam negara ini. Isu pemberian taraf kewarganegaraan kepada pemastautin tetap adalah suatu isu yang cukup besar yang membabitkan pencabulan dan pengkhianatan terhadap kedaulatan Negara sepertimana yang telah dibuktikan oleh PAS Negeri Selangor melalui laporan polis mereka baru-baru ini. Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia berharap supaya PAS negeri-negeri lain juga perlu membuat penumpuan untuk membersihkan daftar pemilih di negeri masing-masing dan membuat laporan polis terhadap sebarang perkara yang mencurigakan dan meragukan. Persediaan juga perlu dilakukan untuk proses semakan dan bantahan Rang Daftar Pemilih Tambahan suku ke 3 tahun 2011 ini yang akan dipamerkan pada Oktober nanti. Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia juga berharap semoga permintaan PAS untuk mengadakan Sidang Khas Parlimen bagi membincangkan isu ini akan dapat diadakan dalam masa terdekat.

Selain itu, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia juga menyokong saranan Timbalan Presiden PAS, Tuan Hj Mohamad Sabu supaya pihak Kerajaan dan SPR menerima pakai lapan tuntutan BERSIH 2.0 (Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil) untuk dilaksanakan tanpa ada dolak-dalik lagi. Lapan tuntutan tersebut pastinya akan menyebabkan pilihanraya menjadi adil dan telus kepada semua pihak. Adakah pihak Kerajaan UMNO/BN dan SPR bersungguh-sungguh untuk tidak menjadikan pilihanraya yang akan datang ini bersih, telus dan adil? Dimana tidak kenanya tuntutan BERSIH :

  1. Adakah permintaan supaya MEMBERSIHKAN DAFTAR PEMILIH boleh mengancam keselamatan Negara?
  2. Adakah saranan supaya MEREFORMASIKAN UNDI POS boleh menyebabkan Negara darurat?
  3. Adakah MENGGUNAKAN DAKWAT KEKAL terlalu mahal berbanding sistem Biometrik?
  4. Adakah AKSES KEPADA MEDIA SECARA BEBAS DAN ADIL untuk semua parti yang bertanding satu tindakan yang keterlaluan sehingga boleh menyebabkan huru-hara?
  5. Adakah permintaan MASA KEMPEN MINIMA 21 HARI terlalu ekstrem?
  6. Adakah permintaan supaya PENGUKUHAN INSTITUSI AWAM supaya tidak dipergunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dianggap bahaya dan berbaur hasutan?
  7. Adakah saranan supaya HENTIKAN RASUAH boleh mencetuskan pergaduhan antara kaum?
  8. Adakah permintaan supaya HENTIKAN POLITIK KOTOR terlalu sukar untuk difahami?

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia bersetuju dengan kenyataan Timbalan Presiden PAS bahawa sekiranya UMNO/BN bersungguh-sungguh merasakan bahawa mereka akan dapat menawan semula Negeri Selangor dengan kelebihan majoriti 20 kerusi maka mereka sudah pasti telah menjalankan dan melaksanakan gerakerja yang kotor dan luar tabi’ie sepertimana yang telah dilakukan terhadap kerajaan PAS Terengganu lalu. UMNO/BN sememangnya tidak boleh dan tidak akan dapat mempertahankan kesinambungan politik mereka sekiranya mereka tidak melakukan helah dan penipuan dengan mempergunakan institusi jabatan-jabatan kerajaan. UMNO/BN pasti tidak akan mampu untuk mempertahankan kuasa pemerintahan mereka sekiranya sistem pilihanraya di dalam Negara ini dadakan secara bebas dan adil.

Oleh itu, Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia mempertegaskan supaya pihak Kerajaan dan SPR bertanggungjawab untuk mengendalikan pilihanraya umum yang ke 13 akan datang ini secara bebas, telus dan adil ataupun mereka akan menghadapi gelombang kebangkitan amarah rakyat yang sudah jemu dan jelak dengan sikap berdolak-dalih mereka melalui GELOMBANG RAKYAT BERSIH 3.0. InsyaALlah.



MOHD SANY BIN HAMZAN
PENGARAH JABATAN PILIHANRAYA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

08 Ogos 2011

PENGURUSAN ZAKAT PERLU LEBIH EFFISIEN

Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor


Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) bersetuju dan menyokong tindakan PAS Pusat untuk bertemu dengan pihak JAIS dan pihak Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) untuk meredakan polemik isu serbuan pihak JAIS ke atas sebuah gereja di Damansara Utama berdasarkan laporan ada usaha pihak-pihak tertentu yang cuba untuk memurtadkan orang Islam. Inisiatif yang di ambil PAS Pusat ini diharapkan akan dapat menjernihkan suasana tidak tenteram dan sangka buruk masyarakat terhadap pihak JAIS yang cuba untuk menjalankan tanggungjawab mereka berdasarkan laporan yang diterima ataupun pihak gereja yang hanya bertujuan menjalankan aktiviti kebajikan mereka. Semua pihak yang terlibat perlu di beri peluang untuk membela diri mereka sendiri setelah Dato’ Hassan Mohamed Ali, EXCO Negeri Selangor, sendiri telah memperjelaskan tindakan dan kenyataan beliau terhadap operasi JAIS tersebut kepada Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Selain itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga bersetuju dengan pandangan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin (MAZA) supaya pihak yang bertanggungjawab terhadap Agama Islam dalam negara ini perlu mengambil tindakan pro aktif untuk menjaga kebajikan ummat Islam di dalam Negara Malaysia ini dengan mengurus tadbir dan mengagihkan wang Zakat kepada asnaf-asnaf yang layak secara telus tanpa banyak birokrasi pentadbiran. Wang Zakat yang dikutip setiap tahun meningkat tetapi dalam masa yang sama orang-orang Islam masih lagi dihimpit kesusahan dan kesempitan hidup. Bilakah lagi Negara Malaysia yang telah 54 mencapai kemerdekaan dan mengaku sebagai sebuah Negara Islam ini boleh mencapai sepertimana zaman Khalifah Umar Abdul Aziz yang telah mengagihkan duit Zakat secara selayaknya sehingga tiada lagi orang yang layak untuk menerima Zakat pada zaman beliau memerintah. Itulah keberkatan pemerintahan berteraskan Islam yang syumul.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga merasa terpanggil untuk meminta supaya pihak yang mempunyai ‘autoriti’ tentang zakat di nageri Selangor supaya tidak terlalu bangga dengan kutipan yang meningkat setiap tahun tetapi dalam masa yang sama terdapat keluhan asnaf-asnaf yang mengeluh kerana dinafikan hak zakat mereka. Wang zakat adlah amanah yang perlu diurus dengan sebaik mungkin dan sampai kepada penerima yang berhak. Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor berharap supaya pihak MAIS dan Lembaga Zakat Selangor perlu mendepani dan menunjukkan teladan kepada negeri-negeri lain untuk mencontohi kebijaksanaan pengurusan zakat semasa pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz sebagai sebuah negeri yang maju dan mampan. Sepatutnya pengurusan zakat di Selangor telah dapat membangunkan ekonomi dan taraf hidup masyarakat Islam di Nageri Selangor kerana kutipan tahunan yang cukup memberangsangkan. Papan tanda billboard berkenaan zakat boleh bertukar setiap 6 bulan, penyewaan dewan kuliah untuk pengurusan zakat di premis-premis yang di sewa bukan di dewan kuliah masjid-masjid, pusat hemodialisis pun di premis yang di sewa bukan di premis masjid serta ahli jawatankuasa mesyuarat MAIS di bayar elaun untuk menghadiri mesyuarat menunjukkan kemampuan pengurusan kewangan MAIS dan Lembaga Zakat Selangor.

Oleh itu Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berharap tidak ada lagi pemberitaan di dalam media cetak dan elektronik yang mengatakan bahawa ada ibu tunggal yang dinafikan hak mereka untuk mendapatkan zakat, ada saudara baru yang langsung tidak diberikan zakat, ada pelajar-pelajar anak Selangor yang ingin melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi terpaksa memendam hasrat kerana tiada sumber kewangan untuk menampung kos pengajian mereka, ada mangsa hutang orang Islam yang dibunuh secara kejam kerana tidak mampu melunaskan hutang dan ada orang Islam di negeri Selangor yang masih lagi tinggal di dalam kehidupan yang penuh dengan kedaifan dan kesusahan.



USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA PEMUDA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

08 Ogos 2011

Thursday, 4 August 2011

IKLAN TV9 MENGHINA ISLAM

Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor


Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) mengecam tindakan TV9 menyiarkan Iklan berkenaan Ibadah Sahur yang secara terang-terangan menghina dan terpesong daripada maksud sebenar Ibadah di dalam Agama Islam. Dalam iklan tersebut telah mengisahkan dua orang yang berjiran, seoarang lelaki dan seorang perempuan, telah bersaing secara bersungguh-sungguh memasak makanan untuk persediaan sahur di mana penghujung iklan tersebut memaparkan bahawa si lelaki tidak sempat bersahur kerana telah berkumandang azan subuh manakala si perempuan jirannya pula sedang membasuh pinggan dan berasa gembira kerana berasa pasti si lelaki jirannya tidak sempat bersahur (Klik sini untuk tontonan video)

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor sangat berasa kesal kerana mutakhir ini banyak pihak yang cuba untuk menonjolkan kebaikan Ibadah di dalam Islam secara buah fikiran mereka sendiri dengan tidak merujuk kepada orang yang arif dan alim dalam Agama Islam. Hasilnya menyebabkan iklan tersebut tidak menepati maksud sebenar ibadah di dalam Islam dan menjadi bahan tertawa masyarakat. Ibadah bersahur itu sendiri disebut oleh Rasulullah S.A.W. terdapat keberkatan di dalamnya dan menjadi pembeza kepada amalan berpuasa penganut agama lain. Sikap yang ditonjolkan di dalam iklan tersebut juga sangat biadap apabila menunjukkan bahawa jiran tetangga bersaing kepada perkara yang tidak sepatutnya dan seronok apabila jiran tetangganya tidak dapat menunaikan Ibadah sedangkan dalam Islam jiran tetangga mempunyai hak untuk dihormati dan tidak boleh disakiti walaupun mereka bukan Islam.

Selain itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mendesak supaya TV9 menarik balik tayangan iklan tersebut dan memohon maaf kepada seluruh umat Ialam di dalam Negara ini. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga menasihatkan kepada pembikin-pembikin filem, iklan dan sebagainya merujuk dahulu kepada orang-orang yang alim dan pakar berkenaan dengan hukum Islam sebelum membuat sesebuah filem, iklan dan sebagainya.


USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA PEMUDA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

03 Ogos 2011


PEMUDA PAS SELANGOR UCAP TAHNIAH

Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor yang telah meneruskan secara berperingkat agenda memberikan kemudahan akses internet percuma kepada rakyat negeri Selangor. Projek Wireless City Selangor yang dilancarkan pada 10 April yang lalu di Medan Selera Prima 2, Seksyen 2, Shah Alam telah mula memasuki kawasan persekitaran seperti di Seksyen 3, Seksyen 9, Kompleks PKNS dan Dataran Shah Alam di Shah Alam dan beberapa kawasan di luar bandar seperti di Medan Selera Bandar Utama, Batang Kali dan Restoran Fazlina Maju di Kuala Kubu Baru.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor percaya kewujudan Wireless City Selangor akan dapat melahirkan golongan rakyat yang berilmu dan bermaklumat menepati Agenda Kerajaan Negeri yang berhasrat melahirkan generasi modal Insan yang terbaik dan berkualiti yang akan membina masyarakat madani yang cemerlang di negeri Selangor.

Selain itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan agenda Wireless City Selangor ini dapat diperbanyakkan lagi kewujudannya di kawasan-kawasan luar bandar lagi supaya mereka dapat mendapatkan maklumat-maklumat terkini tentang pelbagai isu, perbahasan dan lain-lain perkara yang boleh di akses melalui internet. Semoga Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor akan terus komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat negeri Selangor.


USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA PEMUDA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

02 Ogos 2011


JABATAN PENDAFTARAN NEGARA BERMAIN ‘SILAP MATA’

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia merasa cukup risau dan bimbang dengan kedapatan kes baru yang mendedahkan satu lagi kaedah penipuan yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara untuk ‘mewarganegarakan’ penduduk tetap (PR) bagi menjamin mereka dapat menjadi pemilih/pengundi baru untuk pilihanraya umum ke 13 nanti. Laman sesawang Malaysikini semalam dan hari ini melaporkan bahawa pendedahan yang di buat terhadap penduduk tetap yang mempunyai IC merah MyPR secara ‘silap mata’ telah menjadi biru MyKad dalam tempoh tidak sampai 24 jam pendedahan di buat. Selain itu nama-nama penduduk tetap (PR) ini juga telah di kesan oleh Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Selangor dan beberapa negeri yang lain dimasukkan kedalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) suku ke 2 tahun 2011 baru-baru ini. Di Selangor ada lebih kurang 1100 nama penduduk tetap (PR) ini sedang dibantah oleh pihak PAS Negeri dan PAS negeri-negeri lain juga diharapkan dapat meneruskan bantahan yang serupa.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia memandang serius dan melahirkan rasa kecewa terhadap kerja buat pihak Jabatan Pendaftaran Negara yang cukup tidak beretika dan bermoral ini kerana ianya merupakan satu pengkhianatan terhadap Negara. Sudah pastinya kerja-kerja sebegini pastinya didalangi oleh satu kuasa yang lebih besar yang sudah pasti mempunyai kuasa pemerintahan di dalam Negara ini. Setelah beberapa siri pendedahan yang telah di buat yang membabitkan penipuan dan penyelewengan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia dan beberapa pihak institusi kerajaan dalam usaha untuk membantu dan mengekalkan kemenangan UMNO /BN di dalam pilihanraya umum ke 13 nanti maka dengan kes pendedahan terbaru yang melibatkan JPN ini akan menambahparahkan lagi kerosakan sistem pilihanraya di Malaysia. Ingatlah bahawa rakyat sudah semakin muak, bosan dan meluat dengan kerakusan dan kezaliman pemimpin UMNO/BN mempergunakan institusi kerajaan di dalam usaha mempertahankan tampuk kekuasaan mereka. InsyaAllah Pilihanraya Umum ke 13 ini akan menjadi medan untuk RAKYAT bangkit dan MENOLAK UMNO/BN.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia memberikan amaran supaya JPN menghentikan segera kerja buat mereka untuk memberi taraf warganegara secara wewenangnya kepada penduduk tetap (PR) yang secara tidak langsung akan melayakkan mereka untuk menjadi pemilih berdaftar kelak. Pihak Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengambil tindakan-tindakan yang perlu untuk mempastikan kerja-kerja ‘kotor’ ini akan dapat dihentikan dengan membuat laporan polis di seluruh negeri, memorandum kepada SUHAKAM, pihak Kementerian dan juga kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong. Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia juga akan mengerahkan seluruh ahli PAS untuk hadir melakukan “UNJUK RASA” di pejabat JPN dalam masa terdekat untuk menunjukkan keseriusan KAMI membantah kerja ‘kotor’ ini.

MOHD SANY BIN HAMZAN

PENGARAH JABATAN PILIHANRAYA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

02 Ogos 2011


Tuesday, 26 July 2011

PEMANTAUAN PERLU DIPERTINGKATKAN

Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor


Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) bersetuju dengan kenyataan Menteri Besar Selangor, YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menyebut pusat hiburan di dalam negeri Selangor akan beroperasi seperti biasa semasa bulan Ramadhan untuk masyarakat bukan Islam berhibur dan pengusaha pusat hiburan tersebut perlu menghormati umat Islam yang menunaikan ibadah puasa dalam bulan tersebut.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan semoga usaha-usaha pemantauan dan penguatkuasaaan yang ketat terhadap sebarang salah laku pengusaha-pengusaha pusat hiburan terbabit yang cuba untuk merosakkan kesucian bulan Ramadhan dengan membenarkan orang-orang Islam berada di pusat hiburan mereka perlu di ambil tindakan yang tegas. Pemuda PAS Selangor percaya pihak Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk mengambil sebarang tindakan tegas kepada pusat-pusat hiburan yang melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan. Selain itu, penerangan dan dan kefahaman mengenai Ramadhan adalah bulan yang penuh rahmah dan barakah perlu diperjelaskan kepada seluruh rakyat negeri terutamanya yang bukan Islam supaya mereka dapat memahami dan menghormati budaya dan agama Islam yang sebenar. Majlis berbuka puasa bersama masyarakat bukan Islam perlu dilaksanakan di semua kawasan di dalam negeri Selangor ini.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan juga pihak Kerajaaan Negeri Selangor akan memperbanyakkan pengisian program-program pembentukan kerohanian sepanjang bulan Ramadhan ini untuk melahirkan insan-insan muslim yang berkualiti yang mempunyai jati diri yang teguh dan istiqamah di dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim di atas muka bumi ini.


USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA PEMUDA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

26 Julai 2011


NAJIB SEMAKIN TERTEKAN

Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) menyelar dan menolak kenyataan Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Najib Razak bahawa tindakan yang di ambil keatas penganjur dan peserta BERSIH 2.0 tempohari adalah untuk melindungi kepentingan dan harta benda masyarakat umum. Ini merupakan satu kenyataan yang paling tidak bertanggungjawab dan biadap yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri kepada rakyat yang inginkan keadilan di dalam sistem pilihanraya di Malaysia. Rakyat yang turun menyertai himpunan aman BERSIH 2.0 adalah rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, sebahagian mereka adalah non-partisan, punyai pelbagai latarbelakang pendidikan dan kerjaya dan mereka semua ini bukanlah pengganas yang ingin membuat kekacauan dan kerosakan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan Najib kini semakin terdesak untuk menarik kembali sokongan rakyat kepada beliau dengan mengemukakan hujah yang dangkal. Rakyat telah maklum bagaimana pembohongan dan skrip Najib untuk menghalang himpunan BERSIH 2.0 diteruskan walaupun pihak penganjur BERSIH 2.0 mendapat sokongan DYMM Yang Dipertuan Agong supaya diadakan di dalam stadium secara aman dan teratur. Pihak polis yang makan gaji hasil daripada duit rakyat telah dipergunakan untuk menafikan permit untuk berhimpun secara aman malah di kerah untuk melakukan sekatan dan halangan kepada rakyat Malaysia untuk bergerak bebas di kota raya pada 9 Julai 2011 lalu. Sepanjang himpunan aman BERSIH 2.0 berlaku, melalui rakaman Youtube dan agensi-agensi berita luar Negara telah menunjukkan bahawa himpunan tersebut telah menyatupadu dan merapatkan hubungan rakyat Malaysia yang TULEN. Rakyat pelbagai bangsa, agama, ideologi politik dan sebagainya berganding bahu berarak secara aman menuntut sistem pilihanraya yang telus dan adil. Malahan anak bekas Perdana Menteri Malaysia juga hadir memberi sokongan terhadap himpunan tersebut. Namun himpunan yang aman tersebut telah dicemari dengan keganasan dan sikap tidak bertamadun pihak polis yang pastinya telah tunduk kepada pengarahan pihak penguasa yang zalim.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan Najib berniat jahat, tidak bertanggungjawab dan mengancam untuk menghasut apabila cuba mengaitkan himpunan aman BERSIH 2.0 yang menginginkan sistem pilihanraya yang bersih dan adil dengan tragedi 13 Mei 1969 yang membabitkan rusuhan antara kaum. Kenyataan ini seolah-olah mengesahkan kenyataan pihak polis sebelum yang mengaitkan BERSIH 2.0 dengan aktiviti komunis dan keganasan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor meminta supaya Najib berhenti daripada meneruskan agenda pembohongan kerajaan terhadap rakyat dan memikul tanggungjawab di atas segala kecederaan dan kematian yang menimpa peserta himpunan aman tersebut, kerugian pihak peniaga yang terpaksa menutup perniagaan mereka atas arahan pihak polis, para pemandu teksi yang terpaksa menggunakan jalan jarak jauh disebabkan halangan dan sekatan pihak polis dan pelbagai maslah yang timbul kerana kedegilan pihak kerajaan menghalang himpunan aman tersebut. Najib perlu belajar daripada negara-negara maju bagaimana untuk menguruskan ketidakpuasan hati rakyat secara berhemah bukannya mengambil pendekatan negara-negara kuku besi bagaimana untuk menghalang suara rakyat dan menindas rakyat secara zalim dan kejam.


USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN

KETUA PEMUDA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

26 Julai 2011


SISTEM BIOMETRIK UNTUK KELANGSUNGAN KEMENANGAN BN

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menolak kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang menyatakan bahawa pihak SPR akan memperkenalkan sistem biometrik untuk memantapkan lagi tahap keselamatan dalam proses pilihan raya di negara ini. Tan Sri Abdul Aziz menyebut di dalam satu sidang media di Kuching bahawa perlaksanaan sistem itu diharap dapat mengatasi isu pengundi hantu yang sering dibangkitkan pihak pembangkang setiap kali menjelang musim pilihan raya umum atau kecil. Keputusan ini di ambil apabila pihak kerajaan bersetuju untuk memberikan sejumlah peruntukan kepada SPR untuk menggunakan sistem biometrik ini. Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia berpendirian tegas menolak penggunaan sistem biometrik ini yang pastinya masih boleh dimanipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mempastikan kemenangan UMNO/BN dan akan membabitkan kos penyelenggaraan yang tinggi yang membabitkan duit rakyat berbanding penggunaan dakwat kekal yang lebih murah, mudah dan selamat.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia bersetuju dengan pandangan YB Dr. Dzulkifly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor yang menyebut bahawa
"sistem biometrik ini tidak akan dapat menyelesaikan masalah isu pertindanan pemilih di dalam daftar pemilih, pemilih yang di pindah keluar dan masuk tanpa pengetahuan mereka, isu pengundi yang melebihi usia 100 tahun, isu lebih dari seorang pengundi di alamat yang sama, isu pengundian pos, isu tentera dan polis yang telah bersara tetap mengundi sebagai pengundi pos dan lain-lain isu yang telah menyebabkan sistem pilihanraya di Malaysia ini nampak tempang."
Sepertimana pendedahan Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor baru-baru ini dalam pertemuan dengan pihak SPR di Putrajaya, mereka telah menunjukkan sebahagian pembuktian pertindanan nama-nama pemilih di dalam daftar pemilih induk mengikut corak pengenalan diri (tarikh lahir/no kad pengenalan lama) dan corak nama hasil daripada gerakerja mencari dan mengenalpasti pemilih-pemilih yang diragui yang telah dilaksanakan secara berterusan di seluruh kawasan.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia berharap semoga pihak SPR tidak meneruskan agenda mereka untuk menggunakan sistem biometrik ini yang belum pernah teruji keberkesanannya untuk memastikan sistem pilihanraya dapat dilaksanakan secara adil dan telus. SPR tidak perlu berasa malu untuk menggunakan kaedah dakwat kekal seperti yang digunakan di Indonesia atau India tetapi hasilnya cukup memberangsangkan, tiada penipuan, tiada rusuhan dan sebagainya berbanding sistem biometrik yang tidak terjamin lagi ketelusannya. BERSIH 2.0 telah menunjukkan bahawa rakyat Malaysia kini telah bangkit untuk menolak sebarang penyelewengan dan penipuan, mereka juga memerhatikan dengan penuh minat bagaimana pihak SPR ingin mengendalikan pilihanraya Umum ke 13 ini secara telus dan adil. Adakah SPR akan menjadi pihak yang mempunyai integriti dalam melaksanakan tanggungjawabnya secara beramanah ataupun berterusan menjadi salah satu daripada parti komponen Barisan Nasional yang akan mengusahakan pelbagai kaedah dan cara yang akan mempastikan kemenangan UMNO/BN di dalam pilihanraya yang akan datang.

MOHD SANY BIN HAMZAN

PENGARAH JABATAN PILIHANRAYA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

26 Julai 2011


Wednesday, 20 July 2011

MOMENTUM BERSIH PERLU DITERUSKAN

Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) bersetuju dengan keputusan mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat di Petaling Jaya baru-baru ini yang menegaskan keperluan untuk terus menggerakkan agenda dan momentum BERSIH sehingga kepada masyarakat luar bandar. Ini kerana banyak lagi maklumat dan tuntutan BERSIH tidak sampai kepada mereka sehingga masyarakat luar bandar tidak berapa ambil peduli tentang perkara tersebut.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merasakan Pimpinan Pakatan Rakyat di semua peringkat perlu menggerakkan usaha bersama secara bersepadu untuk menangani permasalahan ini dan tidak lagi membiarkan masyarakat luar bandar ini berterusan dibuli dan dipergunakan UMNO dan Barisan Nasional. Kempen-kempen penerangan tentang kejayaan Kerajaan Pakatan Rakyat berbanding Kerajaan Barisan Nasional perlulah diperkasakan gerakannya, program-program kebajikan kepada rakyat diteruskan tanpa prejudis dan wakil-wakil Rakyat Pakatan Rakyat mestilah dilihat mesra rakyat sepanjang masa dan tidak dilihat sebagai orang yang ekslusif.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor sehingga kini telah mengarahkan seluruh jentera pemuda PAS di kawasan-kawasan untuk meneruskan agenda penerangan BERSIH dengan menganjurkan ceramah berterusan, sebaran risalah dan pelbagai aktiviti lain yang menjurus kepada memberikan kefahaman masyarakat berkenaan 8 tuntutan yang diperjuangkan oleh BERSIH. Semoga dengan komitmen dan kerjasama semua pimpinan Pakatan Rakyat untuk meneruskan agenda BERSIH ini secara bersepadu akan dapat meneruskan gelombang kebangkitan rakyat untuk menolak UMNO/BN di dalam pilihanraya umum ke 13 akan datang.


USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA PEMUDA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

20 Julai 2011

Saturday, 16 July 2011

Dewan Ulamak Kesal Kerana Hukum Demontrasi Ditafsir Luar Daripada Konteks Sebenar

Kuala Terengganu, 15 Julai 2011 - Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat , Dato' Tuan Guru Haji Harun Taib menyifatkan bahawa kenyataan muka hadapan utusan yang disiarkan pada hari ini berkenaan hukum demontrasi sebagai pandangan yang dikemukakan di luar konteksnya yang sebenar.

Pandangan pendakwah tersebut sesuai sekiranya dilaksanakan di dalam sebuah negara yang Islam yang melaksanakan undang-undang Islam dengan penuh keadilan. Adapun sekiranya keadaan sebaliknya maka menjadi kewajiban kepada rakyat untuk menjalankan tugasan amar ma'ruf nahi munkar di dalam kerangka syarak. Konsep ini adalah tersangat jelas di dalam Islam sebagai 'check and balance' dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi.

"Apa yang berlaku di Malaysia sekarang ialah rakyat Malaysia tidak ada pilihan untuk menegur kerajaan, di Parlimen suara kita dibakul sampahkan, bahkan kita telah bertemu dengan Yang di-Pertuan Agong dan menyuarakan pandangan kita, tapi UMNO masih membisu seribu bahasa seolah-olah tidak ada apa yang berlaku", tegas beliau.

"Hanya ini sahajalah cara untuk menarik perhatian pihak kerajaan, itu pun secara aman, peserta BERSIH tak lakukan keganasan tetapi yang melakukan keganasan ialah pihak kerajaan", tambah beliau lagi.

"Saya menyeru kepada pendakwah tersebut membaca kisah 'Ashabul Ukhdud' yang dinukilkan di dalam sahih Muslim, di mana seorang pemuda telah mengumpulkan orang ramai untuk menyaksikan kezaliman pemerintah di negara tersebut dan akhirnya ramai daripada penduduk negara itu yang beriman kepada Allah Taala setelah melihat apa yang berlaku", ujar beliau yang juga merupakan Adun Manir (PAS).

Beliau merujuk kepada kisah 'Ashabul Ukhdud' (Sahih Imam Muslim):

Thursday, 14 July 2011

PEMUDA PAS SELANGOR HARGAI PENDEDAHAN DOKTOR

Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor


Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) merakamkan ucapan TAHNIAH di atas keberanian dan kesanggupan kumpulan 11 orang doktor daripada Hospital Tung Shin dan Hospital Bersalin Cina di Jalan Pudu untuk tampil menyanggah tuduhan Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Liow Tiong Lai dan pihak PDRM yang mengatakan hospital tersebut tidak ‘diserang’ oleh pihak polis semasa himpunan BERSIH 9 Julai yang lalu. Malahan kumpulan doktor tersebut yang terdiri dari Datuk Dr Musa Nordin, Dr Sheikh Johari Bux, Dr Ng Kwee Boon, Dr Ng Swee Choon, Dr Jeffrey Abu Hassan, Dr David Quek, Dr Mary Cardozo, Dr Ahmad Farouk Musa, Dr Mazeni Alwi, Datin Low Low Paik See dan Dr Steve Wong sanggup mengemukakan afidavit bersumpah jika perlu untuk pertahankan kebenaran. DPPNS cukup berbangga di atas komitmen yang telah ditunjukkan oleh para doktor tersebut semata-mata kerana ingin menegakkan kebenaran dan mempertahankan nilai-nilai "integriti moral, maruah, dan ketelusan". Sudah pasti pendedahan ini memberikan tamparan hebat kepada PEMBOHONGAN Menteri Kesihatan dan pihak PDRM sebelum ini yang menceritakan perkara sebaliknya.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga mengecam sikap tidak bertanggungjawab Menteri Kesihatan dan pihak PDRM sebelum ini yang telah membuat ‘pembohongan’dan penafian kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap isu serangan ke atas hospital terbabit sedangkan terdapat pembuktian daripada saksi-saksi yang ditangkap semasa himpunan tersebut, pelbagai rakaman video, pengamatan dan pemantauan daripada Majlis Peguam dan lain-lain pihak menceritakan kisah yang sebaliknya. Bagaimanakah rakaman kejadian serangan ke atas hospital tersebut telah tersebar luas di laman-laman web dan menjadi tontonan masyarakat sedunia sedangkan pada masa yang sama Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammudin Tun Hussein mengatakan pihak polis juga ada merakamkan kejadian pada hari tersebut tetapi tiada serangan yang dimaksudkan berlaku. Ini merupakan satu BALA apabila pemimpin semakin berleluasa melakukan PEMBOHONGAN dan PENIPUAN semata-mata kerana ingin mempertahankan tampuk kekuasaaan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan keberanian kumpulan 11 orang doktor ini untuk mendedahkan kebenaran sebenar kejadian yang berlaku semasa himpunan BERSIH tempohari tidak akan disusuli dengan tekanan dan ancaman oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap mereka. DPPNS mengharapkan semoga dengan pendedahan ini akan dapat menyedarkan rakyat Malaysia betapa kronik dan rosaknya akhlak pemimpin UMNO/BN yang sanggup mempergunakan institusi awam dan media massa untuk kepentingan mereka selain berterusan BERBOHONG dan MENIPU untuk mempastikan rakyat terus diperbodohkan dan dapat dipergunakan di dalam Pilihanraya Umum yang ke 13 nanti.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menuntut supaya Y.A.B Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Menteri Kesihatan dan Ketua Polis Negara meletakkan jawatan secara bermaruah di atas pertanggungjawaban insiden serangan ke atas Hospital Tung Shin dan Pusat Bersalin Cina semasa Himpunan BERSIH 2.0 oleh pihak PDRM pada 9 Julai lalu.

USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA PEMUDA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

14 Julai 2011

Wednesday, 13 July 2011

SPR BERMAIN POLITIK

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia merasa cukup kecewa dengan kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Muhd Yusof, yang tidak akan tunduk dengan desakan BERSIH 2.0 untuk melakukan pembaharuan di dalam sistem pilihanraya sedia ada kerana pada anggapannya BERSIH 2.0 tidak lagi bebas dan telah dipengaruhi oleh agenda politik pembangkang. Beliau mengulas desakan Timbalan Presiden PAS yang meminta supaya pihak SPR melaksanakan empat daripada lapan tuntutan BERSIH 2.0 sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), jika tidak perhimpunan 9 Julai bakal berulang.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia menuntut supaya SPR jangan berdolak-dalih lagi untuk membersihkan sistem pilihanraya di dalam Negara Malaysia ini yang kini di lihat semakin ‘kotor’ dengan penyelewengan kuasa oleh parti Barisan Nasional di dalam kempen pilihanraya, pertindihan nama pengundi dalam rang daftar pengundi, pengundi-pengundi hantu, rasuah wang dan politik, pemalsuan kad pengenalan dan sebagainya. SPR sepatutnya membuat kajian yang mendalam dan melakukan penambahbaikan terhadap tuntutan yang di tuntut oleh pihak BERSIH 2.0 mengikut bidang kuasa mereka dan bukannya sibuk menjadi alat propaganda Barisan Nasional dengan memjaja cerita yang BERSIH 2.0 adalah agenda politik pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan.

Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia mempertegaskan bahawa PAS sebagai sebuah parti politik yang berdaftar adalah pelanggan yang menggunakan khidmat SPR sebagai penyelia untuk mempastikan pilihanraya berjalan dengan telus dan adil. Tidak timbul BERSIH 2.0 diresapi pengaruh pembangkang kerana parti-parti politik yang menyertai pilihanraya semestinya mahukan pilihanraya bebas, adil, yang tidak berat sebelah supaya rakyat boleh menilai kemampuan parti-parti politik yang bertanding. Tetapi sebagai penyelia, SPR, telah menunjukkan sikap berpihak kepada sesebuah parti politik, mana mungkin pilihanraya tersebut boleh diadakan secara telus dan adil. Pihak SPR perlu mengambil contoh sistem pilihanraya di negara-negara luar yang lebih baik dan efisien daripada yang berlaku di dalam Malaysia. Sekiranya pihak SPR tidak mampu untuk memberikan komitmen yang tinggi untuk mempastikan pilihanraya Umum ke 13 yang akan datang bersih, telus dan adil, maka sewajarnya Pengerusi SPR meletakkan jawatan beliau dan memasuki kancah politik.

MOHD SANY BIN HAMZAN

PENGARAH JABATAN PILIHANRAYA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

13 Julai 2011


Monday, 11 July 2011

UCAPAN TAKZIAH PEMUDA PAS SELANGOR

Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) merakamkan ucapan TAKZIAH kepada seluruh ahli keluarga Al Marhum Baharudin Ahmad, yang telah meninggal dunia sewaktu menyertai perhimpunan BERSIH 2.0, jenazah Al Marhum telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Lembah Keramat di Taman Seri Keramat Tengah, Kuala Lumpur semalam. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan semoga keluarga Al Marhum bersabar di atas kehilangan dan ujian ini dan mendoakan semoga roh Al Marhum akan ditempatkan di kalangan orang-orang yang mendapat keredhaan Allah Taala. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga mengutuk dan mengecam tindakan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terutamanya pihak Polis Diraja Malaysia yang telah melakukan kezaliman dan penganiayaan terhadap peserta-peserta himpunan aman BERSIH 2.0 dengan menembak gas pemedih mata dan semburan air kimia secara berdepan tanpa belas ihsan. Laporan Malaysiakini 10 Julai menyebut, Al Marhum Baharudin, 58 tahun, bersama rakan dan keluarganya berkumpul di KLCC, terjatuh dan pengsan apabila disembur gas pemedih mata oleh pasukan keselamatan. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga menuntut siasatan yang telus bagi menyiasat laporan yang mengatakan bahawa empat tulang dada dan tiga batang gigi Al Marhum patah selepas menjalani post-mortem. Sesungguhnya kejadian seumpama kini amatlah memilukan dan menjadi satu lagi episod malang dan hitam bagi sejarah demokrasi Negara kita. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat menyanjung tinggi jasa, komitmen dan pengorbanan Al Marhum di dalam memperjuangkan agenda menuntut ketelusan dan keadilan di dalam sistem pilihanraya di Malaysia bersama-sama Sekretariat BERSIH 2.0. Sesungguhnya Al Marhum Baharudin Ahmad adalah WIRA NEGARA (BERSIH 2.0).


Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga mengucapkan ucapan TAKZIAH kepada ahli keluarga Al Marhum Mohd Radzi Yusuf yang telah meninggal dunia akibat masalah paru-paru pagi semalam di Hospital Selayang. Semoga Allah merahmati dan mencucuri rahmat ke atas roh Al Marhum dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang hampir kepadaNYA. Al Marhum atau lebih mesra dengan panggilan Cikgu Radzi merupakan mantan Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Negeri Selangor sesi 2009-2011, juga merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gombak dan penyelia DUN Gombak Setia. Cikgu Radzi merupakan seorang yang cukup mesra dengan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan usia. Beliau adalah seorang yang mempunyai komitmen yang tinggi, akhlak yang baik, berdisiplin tinggi, peramah, periang, tegas dan lucu pada masa-masa yang tertentu. Sesungguhnya Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat berasa sedih dan terkesan di atas kehilangan ini kerana Al Marhum Cikgu Radzi merupakan orang yang banyak memberikan tunjuk ajar terutamanya ilmu-ilmu berkaitan pilihanraya kepada pemuda di semua peringkat. Jasa baik dan tunjuk ajar yang telah diberikan akan sentiasa dikenang dan disanjung tinggi oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor


HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA DEWAN PEMUDA PAS
NEGERI SELANGOR

11 Julai 2011


Friday, 8 July 2011

PEMUDA PAS SELANGOR SELAR NAJIB, HISHAMMUDDIN

Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor


Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor melahirkan rasa kekecewaan yang teramat sangat terhadap YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai seorang Melayu Islam tetapi dalam masa yang sama tidak menunjukkan nilai-nilai agama Islam yang baik dengan tidak menepati janji untuk memberikan kebenaran penggunaan stadium bagi himpunan BERSIH. Sedangkan sebelum itu, Perdana Menteri sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihak kerajaan akan menawarkan mana-mana stadium untuk digunakan sebagai tempat himpunan tersebut dengan syarat tertentu jika pihak Sekretariat BERSIH membatalkan hasrat untuk berhimpun di jalanan. Kini apabila pihak Sekretariat BERSIH bersetuju dengan perhimpunan di dalam stadium maka pihak kerajaan pula yang berdolak-dalih dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah. Sepatutnya YAB Perdana Menteri menunjukkan bahawa beliau seorang yang berjiwa besar dengan menunaikan janji yang telah diumumkan dan mengarahkan pengurusan Stadium Merdeka untuk menerima permohonan Sekretariat BERSIH untuk menggunakan stadium tersebut sebagai tempat perhimpunan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga merasakan tindakan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein terus menerus melabelkan Gerakan BERSIH sebagai HARAM adalah satu tindakan yang kurang wajar dan tidak cerdik kerana pihak Sekretariat BERSIH sendiri telah di terima untuk mengadap ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong untuk menyampaikan dan memaklumkan agenda sebenar Himpunan BERSIH. Adakah Hishamuddin berhajat untuk memperkecilkan kebijaksanaan Tuanku Al Sultan di dalam menilai usul pangkal isu-isu yang berlaku di dalam Negara ataupun beliau sememangnya berhajat untuk melakukan penderhakaan dengan menganggap Tuanku Al Sultan mengiktiraf sebuah gerakan yang HARAM dan boleh menjejaskan keamanan masyarakat. Berdasarkan titah khas Tuanku Al Sultan baru-baru ini, sepatutnya Hishamuddin mengambil tindakan segera untuk mengendurkan tekanan-tekanan yang telah dikenakan ke atas rakyat dengan melepaskan semua tahanan-tahanan yang telah ditangkap secara paksa, membenarkan perarakan himpunan aman dengan pemantauan pihak polis dan mengeluarkan permit himpunan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat berharap semoga kedua-dua pimpinan Negara ini, YAB Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri dapat menunjukkan akhlak muslim sejati dengan menunaikan janji mereka (lebih-lebih lagi apabila di hadapan seorang yang bukan Islam) untuk memberikan kebenaran supaya himpunan BERSIH dapat dijayakan di Stadium Merdeka pada 9 Julai ini. Sepatutnya Kerajaan UMNO/BN tidak lagi terus-terusan membohongi dan berdolak-dalih di dalam isu ini kerana ianya akan hanya menambah kebencian dan rasa amarah rakyat kepada mereka. Rakyat kini sudah sedar akan penipuan dan penyelewengan pemimpin UMNO/BN untuk mempastikan kuasa mereka terus dipertahankan. Pilihanraya umum yang 13 akan datang rakyat pasti akan menghukum dan menumbangkan mereka daripada tampuk kekuasaan Negara.

InsyaAllah.

USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA PEMUDA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

07 Julai 2011

Thursday, 7 July 2011

RAMPASAN SATU LAKONAN?

Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyelar tindakan pihak polis yang cuba mengaitkan rampasan sejumlah besar senjata termasuklah 44 molotov cocktails, 23 parang dan 48 baju T berlogo BERSIH dengan perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Sabtu ini. Semua senjata-senjata tersebut dirampas semasa operasi polis di Gombak, Selangor dan tiga lokasi di Kuala Lumpur. Telahan dan tuduhan tersebut hanyalah berdasarkan kepada penemuan baju T berlogo BERSIH bersama-sama senjata yang dirampas sepertimana yang dimaklumkan oleh Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh dan Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Hamzah.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor meyangkal keras segala tuduhan tersebut dan meminta supaya pihak polis tidak terburu-buru di dalam menentukan kesalahan ke atas pihak tertentu tanpa ada pembuktian yang benar-benar kukuh dan munasabah. Hanya dengan penemuan baju T berlogo BERSIH, pihak polis sudah boleh menuduh pembabitan gerakan BERSIH sedangkan ianya boleh sahaja dicetak dan dikeluarkan oleh pihak-pihak lain yang tidak bertanggungjawab maka kemampuan pihak polis untuk melakukan penyiasatan yang telus dan teliti boleh dipertikaikan. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berasa cukup gusar sekiranya rampasan ini merupakan satu agenda ataupun lakonan baru pihak polis untuk terus menjustifikasikan tindakan mereka menangkap dan menahan pemimpin-pemimpin gerakan BERSIH 2.0.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga berpendapat tuduhan pihak polis bahawa agenda BERSIH diresapi pengaruh komunis adalah berniat jahat dan bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat supaya tidak hadir bersama-sama menjayakan Himpunan BERSIH 2.0. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berharap supaya pihak polis dapat melakukan penyiasatan terhadap isu ini dengan secara telus dan professional tanpa bias serta campurtangan pihak-pihak yang lain.

USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA PEMUDA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR

06 Julai 2011

Monday, 4 July 2011

PEMUDA PAS SELANGOR UCAP TERIMA KASIH KEPADA YANG DI PERTUAN AGONG

Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merafak sembah merakamkan ucapan terima kasih di atas Titah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin yang meminta supaya pihak kerajaan menangani setiap permasalahan yang membabitkan kepentingan rakyat secara berhemah dengan berunding dan tidak mengikut perasaan sepertimana masyarakat yang bertamadun.. Titah ini menjurus kepada cadangan himpunan aman BERSIH 2.0 (Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil) yang akan diadakan pada 9 Julai 2011 di Kuala Lumpur.

Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mendesak supaya pihak kerajaan, pihak polis dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mematuhi saranan Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong agar membuka semula pintu rundingan bersama Sekretariat BERSIH 2.0 bagi mempastikan perjalanan program tersebut berjalan lancar dan teratur. Janganlah pihak kerajaan, polis dan SPR dianggap sebagai orang yang tidak bertamadun hanya kerana ingin mempertahankan keangkuhan dan keserakahan nafsu mereka semata-mata.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor sekali lagi mempertegaskan bahawa himpunan BERSIH 2.0 adalah himpunan aman rakyat menuntut pembaharuan di dalam sistem pilihanraya di Malaysia dan himpunan ini akan berlangsung dan berakhir dalam keadaan yang tenang dan baik. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat menyanjungi keamanan dan keharmonian dan menolak sebarang usaha provokasi untuk melakukan huru-hara ataupun kekacauan.

HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA DEWAN PEMUDA PAS
NEGERI SELANGOR

04 Julai 2011


KEMENTERIAN PENERANGAN BIADAP

Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengecam dan mengutuk tindakan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia kerana secara tidak bertanggungjawab telah menyiarkan secara berleluasa iklan-iklan fitnah dan berbaur hasutan untuk menimbulkan kebencian rakyat terhadap Himpunan Aman BERSIH 2.0 di dalam media elektronik terutamanya RTM1 dan RTM 2. Di dalam iklan-iklan tersebut, himpunan BERSIH 2.0 telah dimomokkan sebagai himpunan haram yang akan menyebabkan kerosakan harta benda, pertumpahan darah, huru hara, kacau bilau dan boleh menyebabkan para peniaga mengalami kerugian. Sepatutnya pihak Kementerian mengeluarkan iklan yang memperjelaskan hak-hak rakyat di dalam Negara yang berdaulat mengikut perlembagaan Negara bukannya memperbodohkan rakyat dengan menyiarkan iklan-iklan “sampah” untuk mempertahankan kuasa pemimpin UMNO/BN.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bertegas bahawa semua gambaran yang ditunjukkan tersebut adalah tidak benar sama sekali. Himpunan BERSIH 2.0 adalah himpunan rakyat jelata yang cintakan keamanan dan keharmonian yang menuntut supaya sistem pilihanraya di Malaysia ini diBERSIHkan daripada sebarang kekotoran penipuan dan penyalahgunaan kuasa pihak-pihak yang “gila” untuk mempertahankan kuasa mereka. Sekretariat BERSIH 2.0 telah meminta supaya setiap rakyat yang akan hadir ke himpunan tersebut tidak melakukan sebarang provokasi, ancaman , ugutan, vandalisme ataupun melakukan kekasaran terhadap mana-mana pihak. Sekretariat BERSIH 2.0 juga terbuka untuk berunding dengan pihak-pihak tertentu seperti polis untuk memastikan program tersebut berjalan lancar dan teratur bahkan meminta supaya pihak polis sendiri yang menentukan jalan yang sesuai untuk perarakan himpunan tersebut.

Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mendesak supaya Kementerian Penerangan Malaysia menarik balik iklan-iklan fitnah tersebut dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia di atas kebiadapan mereka menyiarkan iklan-iklan tersebut. Sesungguhnya wang rakyat Malaysia sebayar pembayar cukai telah disalahgunakan oleh pemimpin UMNO/BN untuk kepentingan diri mereka dan membelakangkan kepentingan rakyat. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga mendesak Menteri Penerangan, YB Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim supaya meletakkan jawatan sekiranya beliau orang yang bermaruah dan berintegriti.

HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA DEWAN PEMUDA PAS
NEGERI SELANGOR

03 Julai 2011


Friday, 1 July 2011

POLIS JANGAN “DOUBLE STANDARD”

Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor


Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor berasa kesal dan kecewa di atas tindakan segerombolan pemuda UMNO yang diketuai oleh exco pergerakan pemudanya iaitu Lokman Nor Adam kerana cuba untuk mencetuskan provokasi dan huru-hara apabila berhimpun dan berkumpul di hadapan pejabat parti PKR di Tropicana pada lewat semalam. Perhimpunan tidak sah tersebut telah disulami dengan pelbagai ugutan, ancaman dan kata-kata yang berbaur hasutan. Apa yang menyedihkan pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor ialah himpunan tersebut berlaku berhampiran dengan Balai Polis Tropicana dan anggota polis di situ hanya menjadi penonton dengan tiada sebarang tindakan dan tangkapan di buat.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor akan MEMANTAU dan mengharapkan PENJELASAN daripada pihak polis tentang tindakan mereka terhadap perkara ini kerana terdapat 2 versi yang berbeza berkenaan tindakan polis untuk menangani perhimpunan yang membabitkan orang ramai. Sekiranya pihak UMNO/BN ataupun pihak yang pro kepada mereka, maka pihak polis akan memberikan kerjasama dan kawalan keselamatan yang baik untuk mempastikan perhimpunan berjalan lancar tetapi berbeza pula kaedahnya apabila pihak NGO dan parti pembangkang yang pro BERSIH cuba untuk mengadakan himpunan aman tanpa ada sebarang unsur-unsur provokasi, kecaman, ugutan dan kata-kata berbaur hasutan tidak pula mendapat kerjasama pihak polis malahan ada yang ditangkap di atas sebab-sebab keselamatan. Pihak polis sepatutnya tidak bersikap “double standard” di dalam menangani persoalan ini. Ini akan menjatuhkan maruah dan integriti pihak polis sebagai pasukan yang dihormati pada pandangan masyarakat sekiranya terus dipergunakan sebagai alat untuk meneruskan kesinambungan penguasaan kuasa pihak tertentu.

Oleh itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan pihak polis agar berlaku adil, telus dan berwibawa di dalam menangani isu yang membabitkan hak-hak rakyat Malaysia sepertimana yang termaktub di dalam Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan serta Perkara 20(1) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA DEWAN PEMUDA PAS
NEGERI SELANGOR

29 Jun 2011

Saturday, 18 June 2011

PDRM JANGAN JADI BUDAK SURUHAN UMNO/BN

Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor merakamkan ucapan tahniah kepada saf kepimpinan Dewan Pemuda PAS Negeri Perak serta sahabat-sahabat Dewan Pemuda PAS Negeri-negeri yang telah memberikan sepenuh komitmen untuk menggerakkan seluruh jentera pemuda bagi menjayakan Himpunan AMAN BERSIH 2.0 (Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil) pada 9 Julai 2011 yang akan datang. Dewan Pemuda PAS Negeri Perak akan mengerahkan lebih kurang 30,000 pemuda Negeri Perak untuk bersama-sama menyertai program tersebut. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga dengan ini menyatakan sokongan penuh dan komitmen untuk menjayakan program BERSIH 2.0 ini dan akan menggerakkan 50,000 tenaga anak muda dan belia yang ada di Negeri Selangor ini. InsyaAllah.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor telah mengarahkan supaya pemakluman dan hebahan mengenai agenda BERSIH 2.0 menjadi agenda utama Dewan Pemuda PAS Kawasan-kawasan di seluruh Negeri Selangor dengan mengadakan Ceramah BERSIH 2.0 serta sebaran risalah berkenaan program tersebut di kawasan masing-masing bermula 1 Julai sehingga 7 Julai 2011 untuk mempastikan rakyat memahami keperluan sebenar BERSIH 2.0 ini perlu dijayakan. Rakyat tidak perlu berasa takut atau terancam untuk menyertai Program BERSIH 2.0 kerana ianya adalah Himpunan AMAN yang dinaungi oleh badan-badan NGO yang berusaha untuk memastikan sistem pilihanraya di dalam Negara Malaysia ini dijalankan secara bersih dan adil. Seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Hj Mohamad Sabu bahawa kita menentang sistem pilihanraya yang kotor yang dimonopoli oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan bukannya himpunan ini diadakan untuk mencetuskan huru-hara dan kekacauan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor bersetuju dengan pandangan yang diutarakan oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man dan PAS Kawasan Miri bahawa Himpunan AMAN BERSIH 2.0 ini boleh untuk tidak diteruskan sekiranya pihak SPR dan Kerajaan Pusat memenuhi tuntutan 8 perkara yang diutarakan oleh pihak BERSIH 2.0 iaitu bersihkan senarai undi, mereformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media bebas dan adil, masa berkempen minima 21 hari, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah dan hentikan politik kotor. Oleh itu Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menyeru seluruh rakyat warga Selangor untuk turut bersama-sama menjayakan Himpunan AMAN BERSIH 2.0 yang akan diadakan pada 9 Julai 2011 di Kuala Lumpur. Bersama-samalah kita memBERSIHkan sistem pilihanraya Negara kita daripada segala kekotoran dan salah laku yang ada kepada sistem yang lebih baik dan adil.

HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA DEWAN PEMUDA PAS
NEGERI SELANGOR

18 Jun 2011

Wednesday, 15 June 2011

Pilihanraya Masjid, UMNO Berpenyakit


Apabila Kerajaan Pakatan Rakayat Pulau Pinang memperkenalkan pemilihan jawatankuasa masjid ala pilihanraya, Umno yang bersikap berpenyakit bebal cuba eksploit isu ini dengan harapan supaya orang melayu semakin marah dengan Pakatan Rakyat kerana mempolitikkan masjid.

Pada hal pemilihan ini adalah cara sahaja berubah, dulu angkat tangan sekarang hendak dibuat ala pilihanraya.Pemilihan Jawatankuasa Kariah Masjid Pulau Pinang 2012-2013 adalah mengikut Seksyen 104 (1) (b) Enakmen Negeri Pulau Pinang 2004 dan 4(1) Kaedah-kaedah Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid (negeri Pulau Pinang).

Tuesday, 14 June 2011

TAHNIAH YB Dr Abdul Rani bin Osman, Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor Sesi 2011-2013

Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan
Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor


Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengucapkan setinggi-tinggi TAHNIAH kepada YB. Dr. Abdul Rani bin Osman, ADUN Meru merangkap YDP Kawasan Kapar di atas perlantikan beliau sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor yang baru. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor selaku sayap kanan parti akan sentiasa komited dan istiqamah di dalam usaha untuk membantu Pesuruhjaya di dalam menggerakkan jentera parti di semua peringkat bagi menghadapi segala cabaran dan rintangan politik negeri Selangor khususnya dalam persiapan untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 nanti. Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat bersetuju dengan kenyataan Ketua Penerangan PKR Selangor yang mengatakan perlantikkan YB. Dr. Abdul Rani sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor yang baru akan menjadi “mimpi ngeri yang berpanjangan” kepada UMNO/BN Selangor.

Monday, 6 June 2011

Ulama dan Professional; Sekularisme Yang Berjaya Diterapkan Oleh UMNO

Oleh:
Dewan Pemuda PAS Kelana Jaya



Muktamar PAS samada di peringkat PAS Pusat mahupun dewan-dewan mendapat liputan yang cukup hebat, bukan sahaja daripada akhbar rasmi PAS iaitu Harakah, malah turut mendapat liputan yang cukup dahsyat daripada akhbar tidak rasmi UMNO iaitu Utusan Malaysia.

Sebelum bermulanya muktamar lagi, akhbar Utusan Malaysia sudah mula menulis berita mahupun pandangan berkisar muktamar PAS lebih-lebih lagi berkaitan dengan pemilihan kepimpinan PAS yang berlaku pada muktamar kali ini. Bermula pada beberapa tahun yang lalu apabila timbul ura-ura kerajaan perpaduan, golongan ulama (konservatif) dan juga golongan erdogan (professional). Isu ini telah pun diselesaikan ketika kesemua AJK PAS Pusat bermesyuarat dan memutuskan PAS tidak akan sama sekali bergabung dengan UMNO.

Namun demikian, UMNO yang kini dalam keadaan tenat mencari talian hayat bagi menarik undi khususnya daripada bangsa Melayu meniupkan kembali sentimen ulama dan professional. Uniknya kali ini, UMNO yang selama menyerang hebat ulama PAS, kini dilihat membela mereka. Dapat dilihat, UMNO tiada pendirian tetap dan sanggup melakukan apa sahaja untuk memecahbelahkan PAS samada dari aspek dalaman mahupun kerjasama PAS dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Sekularisme dalam UMNO semakin lama semakin parah. Dalam UMNO sendiri, ruang yang diberikan kepada para ustaz mereka amatlah sedikit. Sudah sedikit kemudian mahu menyalak kepada PAS dengan mengatakan sesi kali ini PAS telah meninggalkan ulama mereka. Adakah UMNO ini buta atau sengaja membutakan diri daripada melihat institusi ulama dalam PAS?

Ulama dalam PAS diletakkan pada satu posisi yang cukup tinggi. Dalam PAS wujudnya Dewan Ulama yang menghimpunkan mereka yang ‘alim dalam bidang agama Islam. Dalam PAS juga wujudnya Majlis Syura, turut dianggotai oleh para ulama yang dipilih bertujuan untuk menyelia, menasihati, juga memberi keputusan terhadap perancangan-perancangan yang dilakukan oleh kepimpinan PAS. PAS kini, tidak pernah sama sekali meminggirkan ulama, malah diberi ruang seluasnya untuk bergerak.

Bagaimana pula dengan UMNO? Sehingga kini, masalah-masalah seperti rasuah, hiburan melampau, pendedahan aurat oleh ahli mereka sendiri gagal diselesaikan walaupun dikatakan 40 orang ulama telah menyertai mereka. Para ustaz UMNO ini juga tidak diberikan ruang yang luas. Siapa sebenarnya yang meminggirkan ulama? Sudah terang lagi bersuluh, UMNO sebenarnya membuka pekungnya sendiri apabila mengatakan PAS meminggirkan ulama.

Dapat dilihat dengan jelas, UMNO semakin takut dengan pemilihan kepimpinan PAS sesi 2011-2013 ini. Semoga pimpinan PAS kali ini, berjaya menakutkan lagi UMNO, dan berusaha untuk memenagi Pilihanraya Umum kali ke-13. TAKBIR !!!.


Sunday, 5 June 2011

USUL Pemalsuan Kad Pengenalan (Dewan Pemuda) di Muktamar PAS Pusat

Menyedari bahawa Pilihanraya Umum ke 13 yang akan datang bakal menjadi medan pertarungan paling sengit dalam sejarah politik Malaysia di antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Menyedari bahawa UMNO/BN sepertimana track record yang lalu, akan sanggup menggunakan apa jua cara by hook or by crook, untuk mengekalkan kuasa di tangan mereka terutama selepas mereka dilanggar tsunami politik pada Pilihanraya Umum ke 12 tahun 2008.

Menyedari bahawa sejak dua tahun kebelakangan ini, sedang berlangsung satu projek sulit mengeluarkan kad-kad pengenalan terutamanya kepada warga asing dengan tujuan untuk didaftarkan sebagai pengundi.

Menyedari ianya bukan satu rahsia lagi bahawa komplot dan perancangan yang sama pernah dilaksanakan di Sabah melalui 'Projek I.C' pada tahun 1980 an dan 1990 an bagi menumbangkan Kerajaan Sabah yang diterajui oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) pada ketika itu di mana ratusan ribu pendatang tanpa izin dan penduduk tetap diberikan hak kerakyatan dan kad pengenalan dan seterusnya didaftarkan sebagai pengundi.

Ucaptama Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Malaysia

Memimpin Kebangkitan Anak Muda
Disampaikan oleh: Nasrudin Hassan at Tantawi
Dan Kami mahu mengurniakan pertolongan keatas golongan yang tertindas di atas muka bumi ini, lantas kami menjadikan mereka pemimpin-pemimpin serta kami menjadikan mereka orang-orang yang berhak mewarisi

Surah al Qasas : Ayat 5



1. Menjunjung kasih dan syukur setinggi – tingginya kehadhrat Rabbul Izzati justeru rahmat agongNya meliputi sekelian makhluk tanpa sempadan, lantas memilih manusia sebagai duta untuk mengimarah bumi ini dan terlebih istimewa apabila kita adalah pemuda terpilih sebagai pejuang untuk memimpin ummah melandasi syariatNya.



2. Selawat dan salam ke atas Rasulul Ummah al Musthafa saw. Pemimpin yang telah mengemudi kebangkitan ke arah membebaskan ummah dari kebejatan sistem politik dan sosial yang berteraskan syahwat dan bisikan syaithan.



3. Sejambak penghargaan buat kegigihan yang telah dipamerkan oleh as saabiquunal awwalun [generasi terdahulu] yang menjadi mata rantai perjuangan Islam demi mendaulatkannya di atas muka bumi ini.

Friday, 3 June 2011

Sekapur Sirih

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Segala puji bagi Allah S.W.T, dengan keizinanNya, blogspot Dewan Pemuda PAS Kelana Jaya berjaya dibuat tanggal 1 Rejab 1423 Hijrah bersamaan 3 Jun 2011.

Dengan adanya blogspot ini, akan memudahkan masyarakat, khususnya anak-anak muda di kawasan Kelana Jaya untuk mengetahui program-program yang diadakan oleh Dewan Pemuda PAS Kelana Jaya, maklumat dan isu-isu semasa yang berlaku, dan juga berkongsi maklumat di ruangan yang disediakan.

Semoga dengan medium ini dapat merapatkan hubungan masyarakat khususnya anak-anak muda dengan kami, Dewan Pemuda PAS Kelana Jaya.

Sebarang maklumat yang ingin dikongsi, boleh hubungi kami melalui:-

  1. Emel: dppkelanajaya@gmail.com
  2. Shoutbox di blogspot ini.
  3. Facebook Page Dewan Pemuda PAS Kelana Jaya

'Memimpin Kebangkitan Anak Muda'