Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia bersetuju dengan pandangan YB Dr. Dzulkifly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor yang menyebut bahawa
"sistem biometrik ini tidak akan dapat menyelesaikan masalah isu pertindanan pemilih di dalam daftar pemilih, pemilih yang di pindah keluar dan masuk tanpa pengetahuan mereka, isu pengundi yang melebihi usia 100 tahun, isu lebih dari seorang pengundi di alamat yang sama, isu pengundian pos, isu tentera dan polis yang telah bersara tetap mengundi sebagai pengundi pos dan lain-lain isu yang telah menyebabkan sistem pilihanraya di Malaysia ini nampak tempang."Sepertimana pendedahan Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor baru-baru ini dalam pertemuan dengan pihak SPR di Putrajaya, mereka telah menunjukkan sebahagian pembuktian pertindanan nama-nama pemilih di dalam daftar pemilih induk mengikut corak pengenalan diri (tarikh lahir/no kad pengenalan lama) dan corak nama hasil daripada gerakerja mencari dan mengenalpasti pemilih-pemilih yang diragui yang telah dilaksanakan secara berterusan di seluruh kawasan.
Jabatan Pilihanraya Dewan Pemuda PAS Malaysia berharap semoga pihak SPR tidak meneruskan agenda mereka untuk menggunakan sistem biometrik ini yang belum pernah teruji keberkesanannya untuk memastikan sistem pilihanraya dapat dilaksanakan secara adil dan telus. SPR tidak perlu berasa malu untuk menggunakan kaedah dakwat kekal seperti yang digunakan di Indonesia atau India tetapi hasilnya cukup memberangsangkan, tiada penipuan, tiada rusuhan dan sebagainya berbanding sistem biometrik yang tidak terjamin lagi ketelusannya. BERSIH 2.0 telah menunjukkan bahawa rakyat Malaysia kini telah bangkit untuk menolak sebarang penyelewengan dan penipuan, mereka juga memerhatikan dengan penuh minat bagaimana pihak SPR ingin mengendalikan pilihanraya Umum ke 13 ini secara telus dan adil. Adakah SPR akan menjadi pihak yang mempunyai integriti dalam melaksanakan tanggungjawabnya secara beramanah ataupun berterusan menjadi salah satu daripada parti komponen Barisan Nasional yang akan mengusahakan pelbagai kaedah dan cara yang akan mempastikan kemenangan UMNO/BN di dalam pilihanraya yang akan datang.
MOHD SANY BIN HAMZAN
PENGARAH JABATAN PILIHANRAYA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
26 Julai 2011

No comments:
Post a Comment