![]() | |
| Ustaz Hasbullah Mohd Ridzwan Ketua Pemuda PAS Negeri Selangor |
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) merakamkan ucapan TAHNIAH di atas keberanian dan kesanggupan kumpulan 11 orang doktor daripada Hospital Tung Shin dan Hospital Bersalin Cina di Jalan Pudu untuk tampil menyanggah tuduhan Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Liow Tiong Lai dan pihak PDRM yang mengatakan hospital tersebut tidak ‘diserang’ oleh pihak polis semasa himpunan BERSIH 9 Julai yang lalu. Malahan kumpulan doktor tersebut yang terdiri dari Datuk Dr Musa Nordin, Dr Sheikh Johari Bux, Dr Ng Kwee Boon, Dr Ng Swee Choon, Dr Jeffrey Abu Hassan, Dr David Quek, Dr Mary Cardozo, Dr Ahmad Farouk Musa, Dr Mazeni Alwi, Datin Low Low Paik See dan Dr Steve Wong sanggup mengemukakan afidavit bersumpah jika perlu untuk pertahankan kebenaran. DPPNS cukup berbangga di atas komitmen yang telah ditunjukkan oleh para doktor tersebut semata-mata kerana ingin menegakkan kebenaran dan mempertahankan nilai-nilai "integriti moral, maruah, dan ketelusan". Sudah pasti pendedahan ini memberikan tamparan hebat kepada PEMBOHONGAN Menteri Kesihatan dan pihak PDRM sebelum ini yang menceritakan perkara sebaliknya.
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor juga mengecam sikap tidak bertanggungjawab Menteri Kesihatan dan pihak PDRM sebelum ini yang telah membuat ‘pembohongan’dan penafian kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap isu serangan ke atas hospital terbabit sedangkan terdapat pembuktian daripada saksi-saksi yang ditangkap semasa himpunan tersebut, pelbagai rakaman video, pengamatan dan pemantauan daripada Majlis Peguam dan lain-lain pihak menceritakan kisah yang sebaliknya. Bagaimanakah rakaman kejadian serangan ke atas hospital tersebut telah tersebar luas di laman-laman web dan menjadi tontonan masyarakat sedunia sedangkan pada masa yang sama Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammudin Tun Hussein mengatakan pihak polis juga ada merakamkan kejadian pada hari tersebut tetapi tiada serangan yang dimaksudkan berlaku. Ini merupakan satu BALA apabila pemimpin semakin berleluasa melakukan PEMBOHONGAN dan PENIPUAN semata-mata kerana ingin mempertahankan tampuk kekuasaaan.
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mengharapkan keberanian kumpulan 11 orang doktor ini untuk mendedahkan kebenaran sebenar kejadian yang berlaku semasa himpunan BERSIH tempohari tidak akan disusuli dengan tekanan dan ancaman oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap mereka. DPPNS mengharapkan semoga dengan pendedahan ini akan dapat menyedarkan rakyat Malaysia betapa kronik dan rosaknya akhlak pemimpin UMNO/BN yang sanggup mempergunakan institusi awam dan media massa untuk kepentingan mereka selain berterusan BERBOHONG dan MENIPU untuk mempastikan rakyat terus diperbodohkan dan dapat dipergunakan di dalam Pilihanraya Umum yang ke 13 nanti.
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor menuntut supaya Y.A.B Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Menteri Kesihatan dan Ketua Polis Negara meletakkan jawatan secara bermaruah di atas pertanggungjawaban insiden serangan ke atas Hospital Tung Shin dan Pusat Bersalin Cina semasa Himpunan BERSIH 2.0 oleh pihak PDRM pada 9 Julai lalu.
USTAZ HASBULLAH MOHD RIDZWAN
KETUA PEMUDA
DEWAN PEMUDA PAS NEGERI SELANGOR
14 Julai 2011

